London: Corak serangan padu dan penyudah tajam lawan, semalam jelas agak keterlaluan untuk pasangan negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang terpaksa akur sebelum kecundang dalam aksi separuh akhir beregu lelaki.

Tidak seperti persembahan mantap dalam suku akhir tempoh hari, cabaran mereka kali ini layu dek tekanan juara dunia, Cai Yun-Fu Haifeng.
Pasangan China itu mengulangi pencapaian mereka di Beijing untuk layak ke final sekali lagi dengan kemenangan 21-9, 21-19 dalam tempoh 34 minit di Wembley Arena.


Kini, hanya impian memburu pingat gangsa yang berbaki buat pasangan negara apabila menentang Lee Yong Dae-Chung Jae Sung dalam perebutan tempat ketiga, hari ini selepas pasangan dari Korea Selatan itu tewas kepada lawan dari Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen 21-17, 18-21, 20-22.

"Ia amat mengecewakan. Tapi saya akan cuba melupakan detik kekalahan ini untuk memberi tumpuan kepada memenangi gangsa esok (hari ini)," kata Kien Keat yang akur mereka lambat bergerak pada set pertama dan apabila cuba bangkit pada set kedua ia sudah terlewat.

Boon Heong seperti rakannya juga menyuarakan rasa kecewa dan akur lawan mereka bermain pantas dan mereka lebih banyak berfikir bagaimana mahu mengatasi juara dunia itu.

"Saya terlalu sedih gagal ke final tapi perasaan ini harus keluar segera daripada minda sekarang. Esok kami ada satu lagi perlawanan dan mahu menebus kecewa untuk menang gangsa," katanya.
Jurulatih, Tan Kim Her pula akur pasangan China mantap, khasnya Cai Yun yang bermain agresif.

"Kami menjangkakan permainan depan jaring dan hantaran rendah tapi mereka menukar strategi buat memerangkap kami. Tapi biarlah kita fikirkan untuk menang gangsa esok (hari ini). Kien Keat dan Boon Heong ada satu lagi peluang naik ke podium," katanya.