HARGA hartanah kediaman di United Kingdom (UK) dijangka merudum tahun ini susulan ketidaktentuan ekonomi dicetuskan krisis hutang kedaulatan di negara Eropah yang meningkatkan jumlah pengangguran dan melemahkan keyakinan pelabur.

Kos purata kediaman di negara itu jatuh 0.2 peratus pada Disember 2011 berbanding bulan sebelumnya, iaitu kejatuhan bulanan pertama sejak Ogos, manakala nilainya dijangka jatuh lagi pada 2012 ini, demikian menurut Nationwide Building Society.
Permintaan terhadap hartanah kediaman lemah pada 2010 kerana bank mengetatkan syarat pinjaman, manakala warga Britain menerima kesan daripada pengurangan perbelanjaan kerajaan serta peningkatan cukai bertujuan mengurangkan defisit bajet.

Nationwide berkata, ekonomi UK berkemungkinan berkembang kurang satu peratus pada 2012 dan persekitaran pasaran buruh pula akan kekal mencabar.

“Perangkaan ekonomi mengukuhkan lagi pandangan kami bahawa harga akan jatuh sekitar lima peratus pada 2012,” kata Howard Archer, Ahli Ekonomi di IHS Global Insight di London.

“Jika krisis zon euro gagal reda beberapa bulan akan datang atau bertambah buruk lagi, ia akan menyebabkan ekonomi UK menanggung penguncupan ketara, menambah pengangguran dan memberikan kesan kepada harga rumah,” katanya.

Sementara krisis zon euro mengancam pemulihan ekonomi UK, Bank of England mengembangkan program pembelian bon sebanyak 75 bilion (AS$116 bilion) kepada 275 bilion 6 Oktober 2011.
Bank pusat itu juga mengekalkan kadar faedah utama pada paras terendah 0.5 peratus.

“Kemungkinan besar pembuat dasar tidak menaikkan kos pinjaman sebelum separuh kedua 2013 dan berkemungkinan mengekalkannya sehingga 2014,” kata Archer.

Saham Eropah berubah-ubah, dengan Indeks Stoxx Europe 600 menuju ke arah kejatuhan tahunan pertama dalam tiga tahun.

Nilai pasaran saham dunia kehilangan AS$6.3 trilion tahun ini berikutan krisis hutang dan kelembapan ekonomi.

Perangkaan terkini menunjukkan sektor pembuatan China menguncup untuk bulan kedua Disember kerana pengurangan permintaan eksport.

Indeks pengurusan pembelian berada pada 48.7 Disember berbanding 47.7 November, kata HSBC Holdings Plc. Bacaan di bawah 50 menunjukkan penguncupan.

“2012 dijangka lebih buruk berbanding 2011, untuk ekonomi UK atau pasaran kediaman,” kata Ketua Ahli Ekonomi Nationwide, Robert Gardner dalam satu laporan.

Sementara itu, Royal Institution of Chartered Surveyor dan penyelidik hartanah Hometrack Ltd berkata, nilai hartanah UK dijangka jatuh tiga peratus pada 2012, manakala Lloyd’s Banking Group Plc menjangka kejatuhan lebih dua peratus. – Agensi