Kuala Lumpur: Analisis perlu dilakukan untuk mengenalpasti jurang yang semakin ketara di antara kuantiti dan kualiti graduan undang-undang dari institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah, bertitah ia berikutan trend kemerosotan graduan undang-undang yang lulus Sijil Amalan Guaman sejak tiga tahun kebelakangan ini.
Penurunan ketara


Baginda bertitah, calon lulus menunjukkan penurunan daripada 49 peratus pada 2010 kepada 45 peratus pada 2011 dan hanya 41 peratus (350 calon daripada 860 calon menduduki peperiksaan lulus sijil amalan guaman) pada tahun lalu.

Analisis perlu dilakukan dalam kalangan graduan yang gagal dalam peperiksaan Sijil Amalan Guaman sama ada peratus, yang gagal lebih tinggi nisbahnya dalam kalangan graduan institusi pengajian dalam atau luar negara dan mengenal pasti dari institusi pengajian mana di dalam negara ,yang kalangan graduannya paling tinggi gagal dalam peperiksaan Sijil Amalan Guaman, titahnya pada majlis Konvokesyen Ke-18 Sijil Amalan Guaman 2012 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Turut hadir, Peguam Negara yang juga Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Pengerusi Majlis Peguam Malaysia, Lim Chee Wee.

Raja Dr Nazrin bertitah, senario penurunan menimbulkan interpretasi peningkatan jurang antara kuantiti dan kualiti graduan dihasilkan sekali gus mengundang keperluan menilai mahasiswa, kualiti tenaga pengajar, kualiti pengajaran, nisbah pengajar dan pelajar selain kualiti pengetahuan dan kemahiran dibekalkan kepada graduan.
Empat faktor utama

Baginda bertitah kajian Majlis Peguam terhadap 393 firma guaman tahun lalu mendapati empat faktor utama, yang menjadi pertimbangan majikan iaitu penguasaan bahasa Inggeris secara lisan dan tulisan, kemahiran komunikasi, pengetahuan perundangan dan komitmen kepada firma.

Raja Dr Nazrin bertitah penemuan itu perlu dijadikan maklum balas penting kepada 15 IPT tempatan, yang menawarkan program perundangan, termasuk sembilan IPTS bagi memastikan graduan keluaran tempatan mempunyai nilai pasaran yang setanding dengan lulusan universiti luar negara tanpa kompromi dari aspek kualiti.

Abdul Gani dalam ucapannya berkata, satu pasukan petugas khas ditubuhkan untuk mengkaji semula kedudukan pendidikan undang-undang, yang akan mengemukakan cadangan bagi meningkatkan standard graduan undang-undang tempatan.

Katanya, pelaksanaan Common Bar Course bagi menggantikan peperiksaan Sijil Amalan Guaman, yang diumumkan sebelum ini juga bertujuan ke arah itu dengan penggubalan modul, kurikulum, manual dan dokumentasi sedang dilakukan pihak berkenaan.