Kuala Lumpur: Kalangan kapten syarikat tempatan termasuk daripada sektor automotif, perindustrian dan hartanah berharap kerajaan menimbang mengurangkan cukai korporat dalam Bajet 2013 yang akan dibentangkan minggu depan.

Mereka tampil dengan saranan itu bagi membolehkan kos melaksanakan perniagaan lebih berdaya saing seperti di beberapa negara serantau serta pada masa sama memberi kesan limpahan kepada rakyat menerusi kos produk dan perkhidmatan yang lebih berpatutan.
Bantu urus kewangan

Bagi Presiden yang juga Ketua Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Bhd (UMW Group), Datuk Syed Hisham Syed Wazir, berkata cadangan itu penting diambil kira kerana pengurangan cukai korporat akan dapat membantu syarikat menguruskan kewangan secara lebih efektif.

Selain itu, beliau berkata, langkah itu mampu merangsang pertumbuhan perniagaan tempatan, terutama dalam persekitaran ekonomi global semasa yang sungguh mencabar.

Cukai korporat tinggi

Beliau berkata, cukai korporat di Malaysia agak tinggi dan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kenaikan kos barangan, menjadikan sekarang masa sesuai untuk kerajaan menurunkannya.
Saya berharap kerajaan menurunkan cukai korporat serendah yang boleh, tetapi penurunan itu perlulah realistik. Sekiranya penurunan ini dipertimbangkan, ia amat membantu syarikat dalam menguruskan kewangan masing-masing, katanya.

Beberapa agensi penilaian termasuk Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA) sebelum ini menyarankan cukai korporat Malaysia yang kini 25 peratus diturunkan kepada 24 peratus, manakala kadar cukai pendapatan individu yang ketika 26 peratus wajar diturunkan kepada 24 peratus bagi mengurangkan beban sara hidup rakyat. Kadar cukai pendapatan di Singapura ialah 20 peratus.

Mengulas saranan sama, Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh, turut menyuarakan harapan beliau berhubung langkah menurunkan cukai korporat.

Saya berharap kerajaan mengambil kira penurunan ini dengan melihat kepada pelbagai peningkatan kos perniagaan, termasuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi serta pelaksanaan dasar pendapatan minimum, seperti diumumkan baru-baru ini, katanya.

Bagi peserta industri hartanah negara pula, selain mengharapkan kerajaan terus memperkenalkan dasar mesra rakyat dan mesra perniagaan, bajet kali ini diharap terus menggerakkan agenda transformasi rakyat dan ekonomi untuk kesejahteraan negara pada masa depan.