Lambang prestij
Permata, berlian lambang prestij, elegan bagaikan golongan bangsawan

Mewah. Itulah gambaran diberikan kepada koleksi barangan perhiasan diri yang diikat dengan keutuhan, kekuatan dan keganjilan batu permata dan berlian di pasaran masa kini.
Seperti emas dan perak yang terbentuk secara semula jadi, batu permata daripada bahan kompos dan mineral terkandung dalam bumi ada keunikannya. Tidak hairan jika pencintanya sanggup mendapatkannya sebagai koleksi peribadi.


Pasaran barangan hiasan turut menempatkan berlian sebagai teras pemasaran memandangkan mineral hasil daripada karbon yang terperangkap kira-kira 200 kilometer jauh ke dalam bumi itu mengambil masa 3.3 bilion tahun untuk terbentuk sepenuhnya sebelum timbul ke permukaan tanah.

Keindahan batu permata terserlah pada warna-warni termasuk merah, biru, hijau dan banyak lagi dan gabungannya membuatkan wanita tampak cukup elegan, meskipun cuma menyarung sebentuk cincin atau rantai halus dengan loket ringkas.

Jenama antarabangsa

Aksesori bukan saja bertindak sebagai penyeri, tetapi turut mempunyai nilai kehalusan melambangkan sikap semula jadi wanita. Semua pasti tidak dapat menahan ‘panggilan’ kilauan batu permata dan berlian.
Bukan sekadar itu, susunan batu pada koleksi aksesori seakan pemiliknya dihargai terutama sekiranya ia dihadiahkan oleh insan tersayang.

Tampil sebagai salah satu pengedar barangan kemas mewah, Van Cleef & Arpels tampil dengan koleksi unik melambangkan inspirasi suasana majlis tarian yang penuh dengan elegan, prestij dan harmoni serta keseronokan menghimpunkan golongan atasan dan bangsawan Eropah.

Mengetengahkan majlis tari-menari di Perancis mula dikenali sejak kurun ke-20, jenama antarabangsa itu ternyata mencapai impian wanita berkongsi pengalaman indah menerusi pelbagai jenis aksesori pelbagai reka bentuk unik.

Alami suasana romantis disediakan tema Bals de Légende menerusi koleksi Le Bal Proust, Palais D'Hiver, Le Bal Du Siecle, Le Bal Black & White dan Le Bal Orienta yang mana masing-masing menyimpan cerita di sebalik majlis tari bersejarah dalam kalangan bangsawan.

Gabungan pelbagai batu dan berlian pada ikatan cincin, anting-anting, loket dan gelang memberikan suasana berbeza buat wanita. Keutuhan dan kehalusannya juga membenarkan wanita tampil indah dalam apa juga majlis berprestij.

Ikatan mewah

Cukup menggambarkan persekitaran eksklusif majlis tarian atau Ball Room, Palais D'Hiver mewah dengan susunan berlian diikat pada emas putih. Rekaan melambangkan balerina Perancis cukup indah disematkan pada dada wanita.

Tambahan batu nilam tersusun indah membuatkan perhiasan itu lebih menyerlah dan mewah. Tidak kurangnya cincin vintaj dengan himpunan zamrud menjadi jari tampak gah dalam setiap pergerakan bagaikan permaisuri dari Greek.

Tidak kurang hebatnya, Le Bal Black & White pula menawarkan himpunan berlian dan oniks yang seakan marmar. Jalinan hitam dan putih membuatkan subang cendeliar lebih anggun. Susunan batu yang berselang pada cincin juga menjelaskan lagi status bergaya.

Le Bal Orienta yang memainkan sentuhan permata kuning dan putih pula memberikan imej diraja kepada kerongsang penari diketengahkan Van Cleef & Arpels. Menambahkan lagu keagungan sejarah Hindu, cincin gajah diberikan takhta batu kecubung, nilam dan permata kuning di tengahnya sebagai kepala gajah.

Berbeza pula dengan koleksi Le Bal Proust, ia mengetengahkan kemahiran perekanya melalui himpunan rekaan penari balet memiliki pipi montok berwarna merah jambu yang secara tidak langsung turut melambangkan ciri elegan di kalangan wanita ketika era Belle Epoque.

Set The Oiseau Decor pula mengangkat kecantikan bulu pelepah burung sebagai simbolik keunikan wanita pada era itu yang sangat sopan santun dan bergaya.

Bukan sekadar itu, Le Bal Du Siecle pula menjanjikan kemewahan barangan perhiasan pada keindahan susunan dan ikatan warna batu menarik termasuk biru, hijau dan merah jambu.

INFO:
Palais D'Hiver: Melambangkan majlis tari Ballroom sekitar abad ke-18. Simbol perhiasan ini memainkan inspirasi bersandarkan hiasan kepala tradisional bangsawan Rusia.
Le Bal Black & White: Batu permata hitam dan putih tersusun rapi pada setiap koleksi perhiasan melambangkan tema majlis tarian diberikan oleh Truman Capote pada 1966.
Le Bal Orienta: Koleksi ini melambangkan kemewahan penari mengikut mitos Hindu.
Le Bal Proust: Ceria. himpunan barangan perhiasannya menumpukan elemen warna batu permata dan berlian indah.
Le Bal Du Siecle: Ikatan batu nilam dan permata memberikan kekuatan pada penampilan koleksi ini.