Lawatan diraja erat  hubungan Malaysia-UK Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan Tuanku Haminah berkenan bergambar kenangan bersama Putera William dan Catherine sempena majlis santapan diraja di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam.- Foto BERNAMA
Kuala Lumpur: Lawatan Duke dan Duchess of Cambridge, Putera William dan isteri, Catherine ke Malaysia mencatat sejarah tersendiri kerana wanita diraja yang lebih dikenali sebagai Kate di negaranya itu buat pertama kali menyampaikan ucapan di luar negara.

Catherine dan Putera William yang memulakan lawatan rasmi empat hari semalam menyampaikan ucapan dalam lawatan ke Hospis Malaysia, iaitu pertubuhan amal yang menawarkan penjagaan paliatif profesional kepada pesakit menghidap penyakit hayat terhad.
Antara lain, baginda bercakap mengenai isu yang dekat dalam jiwanya dan peranannya sebagai penaung East Anglia Children’s Hospice.


“Saya sangat teruja melihat sendiri program pertama penjagaan paliatif di Malaysia dan kerja mulia staf Hospis Malaysia,” katanya. Pasangan diraja itu turut menemui penghuni hospis dan berbual dengan staf pusat itu.

Malaysia adalah destinasi kedua selepas Singapura dalam lawatan sembilan hari pasangan diraja itu ke negara Asia Tenggara dan Asia Pasifik bagi mewakili Ratu Elizabeth II sempena sambutan 60 tahun pemerintahan baginda.

Ketika pesawat mereka mendarat di KLIA pada tengah hari, sekumpulan jurugambar media menunggu dengan sabar di tempat laluan kereta diraja. Orang ramai yang berkumpul di lapangan terbang turut mengambil kesempatan merakamkan gambar pasangan itu.

Media sebelum ini melaporkan kira-kira 100 wartawan dan jurugambar dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Jepun, Jerman, China, Perancis dan Indonesia tiba di negara ini bagi membuat liputan lawatan itu.
Lawatan itu bukan saja menandakan hubungan erat Malaysia dan United Kingdom, malah dijangka meningkatkan lagi hubungan mesra kedua-dua negara.

Sejurus tiba, pasangan itu diiringi ke Putrajaya bagi mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, sebelum menghadiri majlis makan tengah hari.

Duke dan Duchess of Cambridge menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah serta menghadiri majlis santapan diraja di Istana Negara, malam tadi.

Hari ini, mereka mempunyai beberapa program termasuk lawatan ke Taman KLCC sebelum mengunjungi Lembah Danum, iaitu hutan hujan tropika utama di Sabah, esok.