Luahan hati Mariani BH Online

Luahan hati Mariani

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my
2010/05/27

Seniwati terkenal terharu setelah 27 tahun baru ada pihak anjur majlis kenang Puan Sri Saloma

“BUKAN iri hati atau marah kepada P Ramlee. Cuma alangkah baiknya jika adik mummy turut mendapat perhatian yang sama sekiranya dianjurkan majlis tertentu seperti majlis tahlil. Apa salahnya jika turut mendoakan kesejahteraan arwah?”
Begitulah rasa hati seniwati Mariani Ismail, kakak kepada Biduanita Negara, Saloma atau nama sebenarnya Salmah Ismail ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Amal Lagenda Dalam Kenangan yang diadakan B-Rich Network dan Yayasan Penyuluh Bakti, baru-baru ini.

“Adik Mummy pun pernah mewarnai persada seni suatu ketika dulu. Adik Mummy juga insan yang bermakna dalam hidup P Ramlee. Bayangkan hanya selepas 27 tahun pemergian adik Mummy, baru ada pihak yang terdetik hati mengenangkannya.

“Mummy sendiri terkejut dan dalam masa yang sama bersyukur kerana doa Mummy selama ini dimakbulkan Tuhan. Bukan maksud mummy mahu melihat orang menyanjung terlalu tinggi adik Mummy kerana pada akhirnya ia berbalik kepada soal hati, niat dan cara sesuatu penghargaan itu dilakukan,” katanya.

Akui ibu tersayang kepada aktres Melissa Saila itu, jika selama ini orang asyik memikirkan mengenai Tan Sri P Ramlee dan mungkin terlupa Saloma juga sebenarnya memberi impak tersendiri terhadap era perfileman di negara kita lalu pemergian adiknya itu juga wajar dikenang seperti mana perhatian yang diberi kepada P Ramlee.

“Pada kesempatan ini, Mummy mahu mengucapkan terima kasih tak terhingga kepada penganjur. Tak mustahil, selepas ini akan ada pihak yang bakal mengikuti jejak melakukan perkara yang sama. Jika ia terjadi sekalipun, Mummy dan yang lain akan tetap menyokong seperti kami menyokong majlis makam malam amal ini,” katanya yang mesra disapa Mummy ketika ditemui pada sidang media acara itu di Saloma Bistro, baru-baru ini.

Menurut wanita berusia 77 tahun yang masih aktif berlakon dan sudah dua tahun tidak berehat kerana sering menerima undangan berlakon, terlalu banyak kisah manis dan pahit yang dilaluinya bersama Saloma.

“Teringat lagi Mummy ketika ibu dan bapa kami bercerai. Bapa ‘melarikan’ kami berdua ke Tanjung Karang. Masa itu Mummy berusia 9 tahun dan Saloma, 7 tahun. Bapa buat semua itu sebab tak nak kami berjumpa dengan ibu. Dipendekkan cerita, Mummy dan Saloma lari ke Singapura untuk bertemu ibu. Kami berdua bersusah payah untuk kembali bersama ibu.

“Satu lagi, ketika Mummy memenangi sebuah pertandingan ratu cantik, Saloma beriya-iya memaksa Mummy untuk jadi pelakon. Tengok akhirnya, Mummy jadi pelakon juga biarpun cita-cita asal Mummy nak jadi doktor. Kalau nak disorot memang banyak pengalaman susah senang kami bersama. Sebab itu, sewaktu awal pemergiannya, Mummy tak boleh menerima kehilangannya.

Tapi kini seiring dengan peredaran masa, Mummy sudah reda,” katanya yang baru saja selesai berlakon telefilem arahan Rashid Sibir bagi siaran raya berjudul Syurga Di Awal Syawal selain telefilem Aku Shah Rukh Khan dan filem Garuda.

Bagi Melissa, ibu kepada tiga anak itu berbesar hati untuk menjayakan majlis makan amal itu kerana apa yang diimpikannya menjadi kenyataan. Untuk acara pada 8 Jun itu nanti, pelakon berbakat besar itu juga akan membuat persembahan nyanyian.

“Kalau dulu sekiranya ditemubual media mengenai mama (panggilan kepada Saloma), saya sendiri selalu berkata, alangkah indahnya kalau ada majlis peringatan kepadanya. Akhirnya ia direalisasikan dan saya tak berfikir panjang untuk menyertai acara ini. Saya pelakon dan bukannya penyanyi. Tapi tak mengapa saya tak kisah menyanyi. Tambahan pula untuk majlis mengenang Mama,” katanya.

Ditanya mengenai kenangannya bersama Saloma, Melissa memberitahu Saloma menghembuskan nafas terakhir ketika usianya baru 10 tahun, lalu tidak banyak kenangan yang dilaluinya bersama Allahyarhamah.

“Saya pernah menemaninya menjalankan rakaman suara di studio. Menariknya, saya perhatikan dia tidak seperti penyanyi sekarang yang boleh berhenti merakamkan lagu. Tapi dia sekali harung merakamkan suara. Allahyarhamah seorang legenda semula jadi,” katanya.

Kakak kepada Melissa, Rozita Rohaizad pula berkata, Mariani dan Saloma mempunyai karakter yang berbeza. Jika Mummy lebih ceria orangnya, Mama pula sebenarnya seorang yang sangat pendiam.

“Saya turut belajar menyanyi dengan Mama. Malahan, saya juga pernah mengikutinya membuat persembahan di merata tempat. Apa yang saya boleh katakan, hidup Mama banyak berubah selepas ketiadaan P Ramlee,” katanya yang tidak dapat meneruskan kata-kata kerana terlalu sebak mengenang Saloma.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif B-Rich Network Sdn Bhd, Rossidi Jemlus berkata, apa yang diusahakan pihaknya itu ialah sebagai mengembalikan serta mengenang sumbangan dan zaman kegemilangan yang pernah diraih Saloma. Ia juga seiring dengan misi syarikatnya untuk menjalankan amal jariah.

“Tak dinafikan Saloma jarang diberi perhatian seperti mana yang diterima P Ramlee. Jadi kami tergerak hati untuk menghargai mereka yang sewajarnya dihargai. Majlis makan malam amal ini dirancang dalam tempoh sebulan dan alhamdulillah ia mendapat sokongan terutama daripada keluarga Saloma sendiri.

“Ini juga menjadi projek sulung kami. Acara ini juga sebagai mengumpul derma bagi mengisi Dana Remaja Malaysia yang dikendalikan Yayasan Penyuluh Bakti.
Yayasan ini memberi perhatian kepada remaja yang terlepas peluang mendapatkan pendidikan yang sewajarnya. Sebahagian sumbangan daripada jualan meja juga akan disalurkan kepada Seniwati Mariani,” kata Rossidi.

Info
Majlis Makan Malam Amal, Lagenda Dalam Kenangan


  • Harga jualan meja dijual bermula daripada RM2,500 sehingga RM10,000

  • Bakal berlangsung pada 8 Jun depan jam 8 malam di Saloma Bistro, Jalan Ampang.

  • Selain persembahan Melissa Saila, Rozita Rohaizad dan Mariani, turut menyanyi ialah Muslee Ramlee dan bakat baru, Anis Saloma.

  • Turut mendapat kerjasama Saloma Bistro, Millenium Hair Care Beauty Academy Sdn Bhd.

  • Sebarang pertanyaan atau urusan jualan meja boleh menghubungi nombor di talian: 03-91718788.