KUALA LUMPUR: Tiga syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines (MAS), MASwings dan Firefly akan menyertai program Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) dan menawarkan diskaun tiket penerbangan kepada pelajar institusi pengajian awam dan swasta (IPT) yang merupakan pemegang KADS1M.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata MAS dan MASwings akan memberi diskaun 25 peratus daripada harga tiket penerbangan dalam Negara dari 1 September hingga 31 Disember tahun ini, manakala selepas tempoh pelancaran tersebut, diskaun sebanyak 15 peratus daripada harga tiket penerbangan dalam negara akan diberi.
Katanya, pemegang KADS1M juga akan diberi tambahan had muatan bagasi sebanyak 10 kilogram bagi penerbangan dalam negara.


"Di samping itu juga, ibu bapa pelajar IPT akan menikmati diskaun 10 peratus daripada harga tiket penerbangan dalam negara untuk menghadiri majlis induksi dan majlis konvokesyen," kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua pemegang KADS1M juga dapat menyertai program Enrich GRADS Frequent Flyer secara percuma.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata syarikat penerbangan Firefly pula akan menawarkan diskaun 50 peratus daripada harga tiket penerbagan kelas ekonomi dalam negara kepada pemegang KADS1M dan had muatan bagasi percuma sebanyak 20 kilogram bagi penerbangan kelas ekonomi dalam negara.

Pemegang kad juga akan menerima makanan dan minuman percuma semasa penerbangan.
"Firefly telah setuju untuk memberi kesemua diskaun ini selama setahun bermula 7 Ogos tahun ini," katanya.

Siswa, katanya, hanya perlu menunjukkan KADS1M bersama kad pelajar atau kad pengenalan bagi mendapatkan diskaun yang ditawarkan oleh MAS, MASwings dan Firefly.

Beliau berkata, inisiatif kerajaan untuk mendapatkan lebih banyak syarikat untuk menyertai program KADS1M yang dilancarkan 2 Julai lepas ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan bagi membantu mengurangkan kos sara hidup dan bebanan hampir 1.5 juta pelajar IPT awam dan swasta tempatan sepanjang tempoh pembelajaran mereka. – BERNAMA