Mutakhir
MAS umum pelantikan pengurusan kanan
2012/01/31
KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) hari ini mengumumkan dua pelantikan ke dalam pasukan pengurusan kanannya.
Azhari Mohd Dahlan, berpengalaman tinggi dalam kejuruteraan profesional dengan pengetahuan mendalam industri penerbangan, menyertai MAS Aerospace Engineering (MAE) sebagai ketua pegawai eksekutif, berkuat kuasa esok.
Sementara itu, Ketua Modal Insan pada masa ini, Raja Azura Raja Mahayuddin, akan meninggalkan MAS pada pertengahan bulan depan.
Beliau akan diganti oleh Zahrah Zaid yang akan memegang jawatan Naib Presiden Eksekutif Modal Insan, berkuat kuasa 8 Februari depan.
Zahrah berpengalaman selama 20 tahun dalam sumber manusia di Asia Pasifik dan Eropah dalam Sime Darby, British American Tobacco dan Danone Group.
Jawatan terakhir beliau ialah Pengarah Pembelajaran & Pembangunan Asia Pasifik di Danone Asia Pte Ltd.
"Kami berharap keupayaan kepimpinan strategik Azhari akan membawa MAE ke puncak yang lebih tinggi dengan memajukan dan menterjemahkan segala strategi menjadi satu keputusan yang paling maksimum.
"Begitu juga, Zahrah dipertanggungjawab untuk menetapkan penanda aras baru untuk Modal Insan MAS memanfaatkan keseluruhan tenaga kerja ke arah mencapai paras tertinggi kejayaan seiring dengan pelaksanaan Rancangan Perniagaan kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif MAS Group, Ahmad Jauhari Yahya dalam satu kenyataan hari ini. - BERNAMA