Nasional
MRSM kekal tradisi lulus 100 peratus keputusan SPM
2010/03/13
KUALA LUMPUR: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara terus mengekalkan tradisi kecemerlangan apabila semua 36 MRSM mencapai tahap kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009.
Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata seramai 1,223 pelajar atau 18.42 peratus daripada 6,638 pelajar berjaya memperoleh gred A+, A atau A- dalam semua mata pelajaran dan jumlah itu menunjukkan peningkatan yang cukup baik berbanding hanya 1,079 pada 2008 dengan peningkatan sebanyak 4.32 peratus.
“Mara juga berbangga kerana 26 pelajar memperoleh pencapaian cemerlang A+ dalam semua mata pelajaran diambil,” katanya selepas merasmikan Karnival Pendidikan Mara 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Muhamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Finance Bank (AFB), Datuk Mohamed Azahari Kamil.
Idris berkata, sembilan MRSM mendapat Gred Purata Maktab (GPM) kurang 1.75 dengan MRSM Taiping mendahului senarai MRSM terbaik.
Katanya, lapan MRSM yang turut mencapai GPM di bawah 1.75 ialah MRSM Tun Ghafar Baba (1.247), MRSM Pengkalan Chepa (1.1911), MRSM Alor Gajah (1.4648), MRSM Pengkalan Hulu (1.6062), MRSM Pasir Salak (1.6241), MRSM Kuala Kubu Bharu (1.6570), MRSM Langkawi (1.7077) dan MRSM Batu Pahat (1.7135).
Idris berkata, pencapaian cemerlang pelajar MRSM terus terbukti apabila 385 calon atau 5.8 peratus mendapat A+ atau A bagi semua subjek, berbanding hanya 277 calon atau 3.64 peratus mendapat 1A pada 2008.
Pada Majlis itu Idris turut menyaksikan majlis pertukaran dokumen antara Mara dan AFB membabitkan tajaan biasiswa kepada 10 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang terpilih untuk mengikuti pengajian dalam bidang kewangan Islam di universiti berkenaan.
Sementara itu, Mohamed Azahari berkata, AFB dan UiTM akan mengenalpasti pelajar berkelayakan untuk dianugerahkan biasiswa berkenaan.
“Selepas tiga tahun beroperasi di Malaysia, AFB berasa penganugerahan biasiswa ini adalah satu cari kami berkongsi segala kerja keras yang dilakukan dan jalan terbaik adalah melalui pendidikan dalam menjana pembangunan sumber manusia untuk industri kewangan Islam.
“Ini juga adalah sebahagian tanggungjawab korporat sosial kami dalam melaksanakan apa yang perlu dan kami rasa cukup bertuah bekerjasama dengan Mara dalam merealisasikan program ini,” katanya.