Mah Sing Group Bhd bercadang memperkenalkan beberapa lagi pembangunan hartanah baru pada separuh kedua tahun ini dan awal tahun depan.

Ia berikutan keyakinan syarikat berkenaan berhubung prospek pasaran hartanah negara yang kukuh sepanjang tahun ini.
Ia berdasarkan prestasi jualan mantap bagi separuh pertamanya dengan catatan jualan mencecah RM1.29 bilion iaitu 52 peratus daripada keseluruhan sasaran jualannya tahun ini sebanyak RM2.5 bilion.




Lancar projek

Pemaju hartanah itu dalam kenyataannya di Kuala Lumpur, semalam berkata antara yang akan dilancarkan bagi separuh kedua tahun ini adalah Mah Sing i-Parc, Iskandar dan projek hartanah Ferringhi Residence.

Katanya, ia akan disusuli beberapa pelancaran projek baru pada awal 2013 termasuk M Residence 2 serta projek perbandaran terbaru kumpulan iaitu Southville City yang mana fasa pertamanya akan menawarkan hartanah pada harga serendah RM530,000 seunit.

“Bahkan projek sedia ada juga akan terus menyumbangkan kepada jualan kumpulan termasuk pelancaran beberapa lagi bahagian di M Residence@Rawang untuk memenuhi permintaannya yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata arah aliran jualan yang konsisten membolehkan Mah Sing mencatatkan pertumbuhan dua angka yang baik dalam pendapatan dan keuntungan.



Jualan kukuh

“Bagi separuh pertama 2012, kita telah melihat jualan kukuh dari Kinrara Residence.

“Ini mencerminkan terdapat permintaan yang berterusan bagi hartanah kediaman bertanah di lokasi yang baik, khususnya dalam skim berpagar dan berkawal ditambah pula dengan infrastruktur dan kemudahan,” katanya.

Dengan jualan belum dibil yang tinggi dan tambahan RM315 juta daripada milikan kosong pada 2012 selain koleksi yang sedang dilaksanakan, kumpulan mempunyai kedudukan kukuh untuk memacu pertumbuhan nilai bersih aset melalui simpanan tanah yang sesuai.

Pada 30 Jun 2012, tunai berjumlah RM555 juta dan nisbah hutang bersih rendah sebanyak 0.3 kali, selesa di bawah sasaran nisbah hutang optimum pengurusan 0.5 kali, kata Tan.

Kumpulan itu akan terus melancarkan hartanah yang memenuhi permintaan pasaran, di samping memastikan kemampuan projek dan 70 peratus daripada pelancaran 2012 adalah produk yang berharga kurang daripada RM1 juta seunit dan di lokasi yang baik.