Malaysia tidak benar campur tangan luarLahad Datu: Malaysia tidak akan membenarkan campur tangan pihak luar, termasuk Amerika Syarikat bagi menyelesaikan kes pencerobohan sekumpulan lelaki bersenjata dari Selatan Filipina di negeri ini, 12 Februari lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata kes itu adalah urusan pihak berkuasa keselamatan yang tidak memerlukan campur tangan pihak luar.
“Setakat ini belum ada pihak luar cuba campur tangan dan kita tidak akan benarkan mana-mana pihak berbuat demikian kerana ia adalah urusan kita,” katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat berhubung OPS Sulu di sini, semalam.

Turut hadir ialah Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rasid; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamzah Taib dan Panglima Satu Divisyen Tentera Darat Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar.

Baru-baru ini, seorang daripada waris Kesultanan Sulu, Santanina Rasul dipetik sebagai berkata, pihaknya mempertimbang untuk meminta bantuan Amerika Syarikat bagi menyelesaikan masalah itu.

Dalam perkembangan sama, Khalid berkata, operasi bagi menyelesaikan kes pencerobohan itu masih di bawah bidang kuasa polis dan belum diambil alih oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Tiada perkara seperti itu... sebenarnya kita ada pasukan bersama (dengan ATM) dan ini masih isu dalaman, PDRM masih bertanggungjawab dalam operasi ini,” katanya.
Khalid berkata, keadaan di lokasi kejadian iaitu di Kampung Tanduo masih terkawal dan ia dikepung dengan ketat oleh pihak berkuasa keselamatan bagi mengelak sebarang pencerobohan berlaku.

Ditanya mengenai bila pihaknya akan mengambil tindakan terhadap kumpulan mengaku Askar Kesultanan Sulu, beliau, berkata, ia akan dilakukan pada bila-bila masa saja.

“Bila-bila masa saja dari sekarang... tunggulah kita maklumkan nanti,” katanya.