Kuala Lumpur: Manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Mei lalu berkaitan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan ditunaikan dalam Bajet 2014.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Shafie Apdal, berkata ia bukan setakat membuktikan kerajaan berpegang pada aku janji, malah meningkatkan taraf hidup rakyat, terutama yang berkaitan dengan pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat luar bandar.
Katanya, antara projek utama dalam manifesto berkenaan ialah cadangan membina Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 2,300 kilometer (km) dari Semantan, Sarawak ke Serudong, Sabah dan jalan raya sepanjang 2,600 km di Sarawak.


“Kita juga akan membina jalan di Kelantan walaupun ia di bawah kerajaan pembangkang kerana kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. Begitu juga dengan penyediaan bekalan air bersih dan tenaga elektrik di kawasan luar bandar, terutama di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Peruntukan RM18.7b

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Ikrar Integriti Korporat (CIP) antara SPRM dengan FELCRA Bhd, di Wisma FELCRA, Setapak dekat sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi FELCRA, Datuk Bung Moktar Radin dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan.
Beliau berkata, antara 2010 hingga tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM18.7 bilion bagi penyediaan infrastruktur luar bandar seperti bekalan tenaga elektrik, air bersih dan jalan bagi memastikan penduduk luar bandar menikmati kehidupan selesa.

Selain itu, kerajaan melaksanakan pelbagai program meningkatkan ekonomi penduduk luar bandar seperti Program Transformasi Luar Bandar dan menubuhkan Pusat Transformasi Luar Bandar.

Katanya, Bajet 2014 kementerian itu juga akan memberi tumpuan kepada kerjasama dengan kementerian lain untuk meningkatkan kegiatan perniagaan masyarakat luar bandar bagi mengurangkan penghijrahan belia desa ke kota.

Bagaimanapun beliau enggan menjelaskan jumlah bajet yang diminta kementerian itu daripada Kerajaan BN.