Mat Kelantan  jadi imam Tarawih WARGA Jeli menunaikan sembahyang Tarawih berimamkan Dr Sheikh Mohamed Abdel Aziz.
Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Mesir diundang ke Jeli sempena Ramadan

JELI: Sambutan Ramadan tahun ini lebih bermakna kepada masyarakat Islam sekitar kawasan Parlimen Jeli apabila menerima kunjungan Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Mesir, bagi mengimamkan sembahyang sunat Tarawih di beberapa masjid dan musalla sekitar kawasan itu sepanjang bulan mulia ini.
Kunjungan Dr Sheikh Mohamed Abdel Aziz Ghonim, 32, itu bagi memenuhi jemputan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed, setiap tahun.


Beliau yang fasih bertutur loghat Kelantan berkata, kunjungannya kali ini adalah yang ketujuh bagi memenuhi jemputan mengimamkan solat sunat Tarawih yang diterimanya sejak 2003.

“Pada Ramadan tahun lalu saya tidak dapat memenuhi jemputan Mustapa dan masyarakat Islam sekitar Jeli kerana terpaksa memenuhi undangan pihak Majlis Fatwa Eropah yang berpusat di Perancis.

“Syukur ke hadrat Ilahi kerana pada kesempatan Ramadan tahun ini, saya diberi kesempatan untuk bersama semula dengan masyarakat Islam di sini untuk menjalankan ibadat solat sunat Tarawih di masjid dan musalla,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Mat Kelantan di kalangan penduduk di sini.

Kehadirannya kali ini bagaimanapun, tidak ditemani isterinya, Marwa Mohamed, 25, dan anak perempuan sulung mereka, Nour, yang baru berusia 18 bulan.
Dr Sheikh Mohamed Abdel Aziz berkata, beliau kagum dengan masyarakat Islam negara ini termasuk di Jeli kerana menganjurkan pelbagai program penghayatan Ramadan.

“Langkah itu sememangnya menjadi suruhan dalam agama Islam, lebih-lebih lagi ketika meraikan Ramadan yang dipenuhi keberkatan,” katanya.

Mustapa berkata, selain mengimamkan solat sunat Tarawih, Dr Sheikh Mohamed Abdel Aziz juga akan menyampaikan kuliah agama kepada masyarakat Islam di Jeli.

“Masyarakat Islam terutama di Jeli perlu memanfaatkan peluang mendapat tunjuk ajar dan bimbingan seorang tokoh agama dari Majlis Fatwa Kerajaan Mesir itu,” katanya.