KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd dinobatkan sebagai penerima Anugerah Konglomerat ‘The BrandLaureate 2010-2011’ anjuran Asia Pacific Brand Foundation (APBF), di sini semalam.

Akhbar harian bahasa Inggeris, New Straits Times (NST), terbitan The New Straits Times Press (NSTP) pula menerima Anugerah Jenama Terbaik Media-Surat Khabar.
Kedua-dua anugerah berprestij itu disampaikan Presiden The BrandLaureate, Dr K K Johan, masing-masing kepada Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Kumpulan Media Prima, Ahmad Izham Omar dan Pengarah Pemasaran NSTP, Zuraida Mohamad.


Turut menerima Anugerah Konglomerat ‘The BrandLaureate 2010-2011’ Country Heights Holdings Bhd, Malaysian Resources Corporation Bhd, Oriental Holdings Bhd dan YTL Corporation Bhd.

Anugerah kemuncak pada malam itu Anugerah Tun Dr Mahathir Mohamad ‘Man of the Year’ dinobatkan kepada Pengerusi dan Pengasas Public Bank Bhd, Tan Sri Dr Teh Hong Piow, manakala Anugerah Tun Dr Siti Hasmah Ali ‘Woman of the Year’ diberikan kepada Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Hong Piow menerima anugerah itu di atas kejayaannya membawa Public Bank sebagai bank ketiga terbesar selain syarikat tidak berkaitan kerajaan terbesar tersenarai di Bursa Malaysia manakala Zeti di atas sumbangannya membangunkan sektor kewangan negara.

Turut menerima anugerah The BrandLaureate jaguh skuasy dunia, Datuk Nicol David dan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, yang menerima Anugerah Rekod Dunia atas rekod cemerlang dalam kedua-dua bidang sukan itu.