Kuala Lumpur: Kemajuan rangka kerja pengawalan dan penyeliaan sektor kewangan di Malaysia mencapai satu lagi tahap baru apabila Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) mula berkuat kuasa semalam.

Bank Negara Malaysia berkata, kedua-dua akta itu adalah kemuncak bagi usaha untuk memodenkan undang-undang yang mengawal selia perlakuan dan penyeliaan institusi kewangan di negara ini bagi memastikan undang-undang itu terus relevan dan berkesan untuk mengekalkan kestabilan kewangan, menyokong pertumbuhan menyeluruh dalam sistem kewangan dan ekonomi, di samping menyediakan perlindungan yang mencukupi untuk pengguna.
Ia berkata, undang-undang itu juga memberikannya kuasa pengawasan pengawalan dan penyeliaan untuk mencapai mandatnya yang luas dalam persekitaran yang lebih kompleks dan saling berhubung dengan perkembangan kewangan yang bersifat serantau dan antarabangsa.


Ini termasuk peningkatan tumpuan terhadap langkah pencegahan awal bagi menangani isu yang berbangkit dalam institusi kewangan yang mungkin memberikan kesan kepada kepentingan pendeposit dan pemegang polisi, serta keberkesanan dan kecekapan fungsi pengantara kewangan, katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sistem pengawalan dan penyeliaan Malaysia perlu dilengkapi dengan baik bagi menangani risiko baru dan yang baru muncul supaya keyakinan dalam sistem kewangan dipelihara dan aktiviti perantaraan kewangan yang kritikal serta penting kepada ekonomi terhindar daripada gangguan, jelasnya.

Gabung undang-undang

Bank Negara berkata, FSA dan IFSA menggabungkan beberapa undang-undang yang berasingan untuk mengawal selia sektor kewangan di bawah rangka kerja perundangan tunggal masing-masing untuk sektor kewangan konvensional dan Islam, iaitu, Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989, Akta Bank Islam 1983, Akta Insurans 1996, Akta Takaful 1984, Akta Sistem Pembayaran 2003 dan Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 yang dimansuhkan pada tarikh yang sama.
Undang-undang baru itu, katanya akan meletakkan sektor kewangan Malaysia, yang merangkumi sistem perbankan, sektor insurans dan takaful, pasaran kewangan dan sistem pembayaran dan pengantara kewangan lain, pada platform untuk terus maju sebagai satu sistem kewangan yang kukuh, bertanggungjawab dan progresif.

Ini khususnya penting bagi membolehkan sistem kewangan memenuhi tuntutan baru terhadap pembiayaan yang dikaitkan dengan program transformasi ekonomi Malaysia pada dekad akan datang dan seterusnya, perubahan demografi penduduk, dan integrasi ekonomi Malaysia yang semakin pesat dengan rantau ini dan juga di dunia, kata bank pusat itu.