Model sport dominasi Pameran Auto Detroit Ketua Eksekutif Maserati, Harald J Wester (kiri) bersama Pengurus Besar Toyota, Bill Fay memperkenal model Maserati Quattroporte dan model Corolla Furia pada Pameran Auto Detroit. - AP
Detroit: Mesej daripada kalangan Ketua Eksekutif (CEO) syarikat kereta pada Pameran Kereta Detroit ialah pembeli memberi tumpuan terhadap kereta sport tahun ini, bukan kereta elektrik.

Secara umumnya kalangan ketua eksekutif syarikat automotif kelihatan yakin terhadap unjuran industri auto Amerika Syarikat (AS) yang memasuki tahun keempat pemulihan selepas krisis 2009.
“Tanpa mengambil kira tilikan nasib, 2013 dijangka bergerak ke arah yang betul. Ia akan menjadi tahun terbaik dalam rekod sejak saya berada di sini," kata Sergio Marchionne, Ketua Eksekutif Fiat SpA, syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk menyelia firma AS yang bankrap, Chrysler.


Automotif AS pulih

Ketua Persatuan Pembuat Kereta Jerman (VDA), Matthias Wissmann, pula berkata pasaran automotif AS sudah cergas semula dengan kepantasan dan dinamik yang menakjubkan.

“Sebahagian daripada keghairahan itu dipacu jenama asing seperti Maserati, seakan-akan Chrysler adalah sebahagian Kumpulan Fiat,” katanya.

Bagaimanapun, bukan semua eksekutif dari luar optimis mengenai prospek pasaran AS.
Pameran Auto Detroit sudah hilang kepentingannya untuk Lamborghini, pembuat kereta super dari Itali yang dimiliki oleh Volkswagen AG, yang berhenti menyertai pameran auto paling penting AS itu selepas 2009.

"Anda perlu membelanjakan bajet pemasaran dengan bijak. Pameran Detroit tidak ditandakan sebagai penting dalam kalendar kami,” kata Ketua Eksekutif, Stephan Winkelmann.

Pasaran terbesar Lamborghini

Begitupun, AS kekal pasaran terbesar Lamborghini yang mana jenama itu mencatat peningkatan jualan 53 peratus tahun lalu dan akan melancarkan model roadster terbarunya, Aventador pada satu majlis khas di Miami bulan depan.

Tidak berada dalam kelompok setaraf dengan Lamborghini, tetapi berjaya menarik lebih tumpuan peminat tempatan ialah Corvette 2014 yang mula dijual akhir tahun ini.

Pada hari pertama pratonton media, GM berjaya menarik banyak perhatian, bukan saja untuk Corvette baru, tetapi juga trak pikap direka semula, Chevrolet Silverado dan GMC Sierra. - REUTERS