Mohd Ali  kini Pengerusi PUNB
Pelantikan berdasarkan pengalaman sebagai Ketua Menteri Melaka

Datuk Seri Mohd Ali Rustam dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) yang baru, bagi menggantikan Khairy Jamaluddin.

Pelantikan Mohd Ali, yang berpengalaman dalam memajukan ekonomi Melaka semasa menjadi Ketua Menterinya selama 12 tahun, adalah berkuat kuasa sejak 1 Ogos lalu.
PUNB dalam jemputan medianya berkata, satu majlis akan diadakan di Ibu Pejabatnya di Plaza Sentral, KL Sentral pada Selasa ini bagi mengumumkan pelantikan rasmi berkenaan.


“PUNB akan mengadakan majlis penyerahan tugas oleh Khairy Jamaluddin kepada Datuk Seri Mohd Ali Rustam selaku Pengerusi PUNB baru yang berkuat kuasa pada 1 Ogos 2013.

Majlis serah tugas

“Majlis penyerahan tugas itu akan disaksikan oleh Ahli Lembaga Pengarah, Pengurusan dan seluruh warga kerja PUNB,” demikian mengikut jemputan media yang dihantar agensi pembangunan usahawan milik penuh Yayasan Pelaburan Bumiputera itu, semalam.

Mohd Ali, ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya.
Khairy Jamaluddin yang berkhidmat sebagai Pengerusi di PUNB sejak 1 April tahun lalu sudah dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan dalam barisan Kabinet baru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Mei lalu.

Mohd Ali, yang kini turut menggalas peranan sebagai Pengerusi Majlis Rundingan Ekonomi Negeri (MREN) Melaka bagi membincangkan bentuk rancangan ekonomi berpotensi melonjakkan kemajuan ekonomi negeri itu, akan bertanggungjawab menerajui PUNB ke arah mencapai visi dan misinya untuk muncul sebagai pusat kecemerlangan dalam pembangunan keusahawanan Bumiputera.

Beliau juga akan menyambung kesinambungan operasi perniagaan PUNB yang ditinggalkan Khairy dengan menumpukan kepada pembangunan usahawan Bumiputera dalam perniagaan strategik dan berpotensi selaras dengan Dasar Pembangunan Negara.

Antara cabaran utama yang bakal digalas Mohd Ali termasuk menambah dan meningkat lagi bilangan dan kualiti usahawan Bumiputera dalam sektor industri dan komersil serta menggalakkan pembentukan usahawan Bumiputera yang berdaya tahan di dalam industri strategik.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang Sains Sosial (Pembangunan Ekonomi) dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1986, Mohd Ali turut berpengalaman luas dalam dunia usahawan apabila banyak membantu melahirkan ramai usahawan Bumiputera di Melaka.

Iktiraf perkhidmatan

Dalam pada itu, sumber berkata, pelantikan Mohd Ali dibuat bagi mengiktiraf perkhidmatan beliau dalam membangunkan dan mengubah Melaka dalam tempoh 12 tahun yang lalu menjadi apa yang ada hari ini.

“Pelantikan itu diputuskan oleh Yayasan Pelaburan Bumiputera dalam mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah yang dipengerusikan Najib pada Julai lalu,” katanya.

Pelantikan Mohd Ali itu dilihat mengikuti rentetan pelantikan ahli politik dan pegawai tertinggi kerajaan lain menerajui agensi dan syarikat berkaitan kerajaan.

Antara lain, mereka termasuk Tan Sri Syed Hamid Albar, yang dilantik Pengangkutan Awam Darat Suruhanjaya, Tan Sri Sidek Hassan sebagai pengerusi Petronas, Datuk Seri Ng Yen Yen sebagai Pengerusi Pelancongan Malaysia, dan Datuk Abdul Ghani Othman sebagai Pengerusi Sime Darby Bhd.

PUNB yang ditubuhkan pada 17 Julai 1991 berfungsi dengan menyediakan peluang kepada usahawan Bumiputera mencapai kejayaan dalam perniagaan melalui sokongan kewangan dan korporat.

Operasi perniagaannya bertumpu kepada penawaran pakej pembangunan keusahawanan bersepadu bagi membantu usahawan Bumiputera dalam bidang peruncitan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Program pembangunan itu dirangka bagi membantu usahawan Bumiputera memantapkan lagi perniagaan, meningkatkan keuntungan serta merencanakan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi.