Brussels: Presiden Mesir, Mohammed Morsi, mengutuk serangan di konsulat Amerika Syarikat di Libya yang membunuh duta Amerika dan berjanji akan melindungi kedutaan asing di Kaherah, yang menyaksikan polis menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan di misi Amerika.

Pada masa sama, Morsi juga lantang mengecam penghasilan filem menghina Islam dan Nabi Muhammad yang mula mendapat perhatian di Mesir selepas sedutan filem itu dialih bahasa ke bahasa Arab dan disiarkan di laman YouTube.
Timbulkan kemarahan

Filem yang dihasilkan di Amerika Syarikat bertajuk Innoncence of Muslims itu menimbulkan kemarahan umat Islam dan menyebabkan misi Amerika diserang di tiga negara Arab iaitu Yaman, Mesir dan Libya.

Bercakap ketika melawat Kesatuan Eropah (EU) di Brussels, Morsi berkata beliau bercakap dengan Presiden Barack Obama dan mengutuk serangan Selasa lalu ke atas konsulat Amerika di Benghazi yang menyebabkan duta dan tiga lagi warga Amerika terbunuh.

“Kami juga mengecam keras semua yang memulakan provokasi itu dan mereka yang mendalangi kebencian itu. Pada masa sama kami berasa ia tidak mewajarkan serangan ke atas kedutaan atau konsulat.

Henti semarak kebencian
“Mesir bertanggungjawab melindungi kedutaan dan konsulat dan rakyat Mesir tidak akan terbabit dalam tindakan menyalahi undang-undang itu,” katanya sambil menambah beliau meminta Obama menghentikan tindak tanduk menyemarakkan kebencian seumpama itu.
AP