Mutakhir
Muhyiddin hadiri jamuan teh bersama warga PPR
2010/03/13
PUTRAJAYA: Seramai 1,600 penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan diraikan dalam majlis jamuan teh bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman hari ini.
Turut diraikan dalam majlis sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan itu termasuk 900 golongan kurang upaya, golongan kurang berkemampuan, anak yatim dan ibu tunggal.
Mereka menerima sumbangan daripada Yayasan Wilayah Persekutuan dan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta agensi di bawah kementerian yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri.
Selain itu, mereka juga diberikan layanan tetamu kehormat dan dibawa mengelilingi sekitar Kuala Lumpur serta lokasi menarik di Putrajaya.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan isteri, Datin Nafesah Raja Nong Chik serta bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Tun Jeanne Abdullah.
Kira-kira 5,000 tetamu menghadiri jamuan itu yang turut diserikan dengan persembahan beberapa artis popular. - Bernama