Nilai kesucian diri
Aku Masih Dara bukan hiburan kosong, papar gejala sosial semasa

PERDEBATAN mengenai kepentingan dara bagi seorang gadis mahupun wanita sebelum mendirikan rumah tangga tentu sekali begitu penting, terutama bagi masyarakat Timur yang kaya dengan adat susila serta kepercayaan. Pada ketika sebahagian besar masyarakat sebelah sini beranggapan ia mahkota yang harus dijaga, kini sudah wujud kelompok yang berasakan, kesucian diri bukan lagi perkara paling utama apabila bercakap soal perkahwinan.

Tentunya ia tajuk yang menarik untuk dibincangkan, apatah lagi apabila dikaitkan dengan pegangan agama. Dalam masyarakat Melayu, dara seharusnya dipertahankan sehinggalah seseorang itu bergelar isteri yang sah kepada jejaka pilihannya (atau keluarga).
Lalu, apabila pengarah Ahmad Idham mengetengahkan isu berkaitan dara dalam filem terbarunya, ia membuka mata banyak pihak. Ada pihak yang lantang bersuara, Idham cuma mahu mengambil kesempatan atas topik yang ‘seksi’ bagi menarik perhatian penonton. Namun, apabila filemnya disaksikan, ia nyata bukan sekadar tema kosong, tetapi penuh simbolik dan ingatan.

Diterbitkan MIG, Aku Masih Dara berbicara mengenai pemahaman tiga gadis berlainan latar belakang terhadap agama, serta kepentingan kesucian diri kepada mereka. Biarpun bersahabat baik, namun latar belakang yang tidak sama itu mencorakkan warna berbeza pada ketiga-tiga watak berkenaan, yang membuatkan penonton tertarik untuk terus mengikuti ceritanya.

Watak Aleesya, Sofea dan Hani mempunyai pandangan yang tidak sama mengenai Islam. Pemahaman itu pula tertanam dalam diri masing-masing mengikut acuan pendidikan yang diberikan kepada mereka, sama ada oleh keluarga mahupun dari sekolah atau persekitaran.

Biarpun semuanya dilihat suka berpeleseran, berfoya-foya, serta melakukan perkara di luar batasan, tetapi gadis terbabit bukannya daripada keluarga yang serupa. Ada yang berasal dari keluarga senang, sederhana, juga keluarga yang susah. Lalu, akar umbi ini sedikit sebanyak mencorakkan perwatakan setiap satu daripada mereka, walaupun pada dasarnya mereka nyata seronok untuk bergembira.

Aleesya, biarpun dirinya mempunyai asas ilmu agama dan digambarkan sebagai gadis yang pandai sembahyang dan mengaji, namun dia tetap mudah digoda nafsu dan bisikan syaitan kerana tidak mengamalkan pengetahuan berkenaan. Begitupun, Aleesya cukup kesal setelah mahkotanya tergadai, kerana dia pada dasarnya mengerti hukum agama.
Berbeza dengan watak Sofea, yang dibesarkan tanpa didikan agama dan dalam suasana serba kebaratan. Dia tidak tahu bersembahyang mahupun mengaji al-Quran. Pada masa yang sama, gadis ini memahami kepentingan mahkota bagi seorang gadis, dan dia sedaya upaya mempertahankannya.

Dengan hanya sekali mendengar kemerduan bacaan al-Quran, Sofea mendapat hidayah dan nekad mengubah cara hidup. Secara drastik, dia berhijrah untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.

Bagi Hani pula, dia membesar dalam keluarga yang susah dan kurang didikan agama lantaran ibu bapa yang terlalu sibuk mencari rezeki. Untuk hidup senang, dia mengambil jalan mudah, menjadi pengedar dadah secara kecil-kecilan dan terjerumus dalam hidup penuh noda. Tanpa didikan agama di dalam diri, apa yang berada di depan mata semuanya dianggap halal sehingga mahkota diri tidak lagi dianggap bernilai. Namun begitu, tidak bermakna gadis liar sepertinya tidak mampu untuk kembali ke pangkal jalan.

Selain tarikan perbezaan latar belakang yang membentuk perwatakan setiap wanita muda ini, Aku Masih Dara juga berjaya menyerlahkan bakat pelakon Diana Amir, yang beraksi sebagai Hani. Mungkin kerana tidak banyak peluang diberikan kepadanya sebelum ini, maka persembahan Diana dilihat segar dan penuh harapan.

Pelakon lain pula seakan memberikan aksi yang pernah dilihat oleh peminat dalam judul lakonan mereka sebelum ini. Apa-apa pun, masing-masing mencuba untuk memberikan lakonan terbaik, yang membantu menghidupkan filem yang seakan sama konsepnya dengan Syurga Cinta ini.