Projek MRT di lima kawasan beri kesan gandaan RM210b dalam 10 tahun

NILAI tanah di lima kawasan pembangunan utama Lembah Klang dijangka meningkat antara 11 peratus hingga 35 peratus setahun dalam tempoh lima tahun akan datang susulan pelaksanaan projek Aliran Transit Massa (MRT).
Sementara itu, nilai hartanah kediaman dan komersial di kawasan berdekatan laluan itu pula berpotensi mencatat kenaikan sehingga 30 peratus setahun.


Firma penyelidikan HwangDBS Vickers Research Sdn Bhd, berkata selain kawasan pembangunan KLCC-Bukit Bintang dan KL Sentral, tiga kawasan tumpuan baru yang dikenal pasti turut meraih peningkatan nilai tanah adalah Sentul, Pusat Bandar Damansara-Damansara Heights dan KL Eco-City-Midvalley.

Projek MRT dikatakan menjadi pemangkin berstruktur utama memacu semula sektor hartanah di tengah Kuala Lumpur ke paras baru selepas pembangunan sebelumnya yang lebih tertumpu di pinggir Lembah Klang.

Antara projek komersial akan dilancarkan berikutan adanya laluan MRT itu ialah KL Eco-City dengan nilai pembangunan kasar RM6 bilion di Bangsar, Capers dan Sentul East (Sentul) dan Damansara City (Pusat Bandar Damansara).

Pengarah Bersekutu HwangDBS Vickers Research, Yee Mei Hui, berkata lonjakan nilai tanah di kawasan berkenaan akan dipacu nilai jualan hartanah dan nisbah plot yang lebih tinggi serta adanya zon komersial baru yang bakal dibangunkan.
“Kami melihat MRT sebagai pemangkin berstruktur pembangunan Kuala Lumpur disebabkan kurangnya pelaburan pembangunan hartanah dalam tempoh 12 tahun.

“Projek MRT juga akan memberi kesan gandaan besar bernilai RM210 bilion untuk 10 tahun akan datang,” katanya pada taklimat media di Kuala Lumpur, semalam.

Projek MRT yang dianggarkan bernilai RM43 bilion adalah pembangunan infrastruktur terbesar dilaksanakan kerajaan ketika ini.

Kerja pembangunan projek MRT ini dijadualkan bermula Julai ini dan mengambil masa lima hingga enam tahun untuk disiapkan.

Fasa pertama rangkaian projek MRT di Lembah Klang ini membabitkan laluan Sungai Buloh sehingga Kajang dan melalui pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Jarak laluan Sungai Buloh-Kajang adalah 51 kilometer, termasuk 19 peratus atau 9.5 kilometer daripadanya adalah laluan bawah tanah dengan 35 stesen akan dibina sepanjang laluan itu.

Mei Hui berkata, lonjakan nilai tanah di kawasan terbabit dijangka akan menyebabkan berlakunya beberapa lagi proses penggabungan dan pengambilalihan (M&A) di kalangan firma hartanah tempatan untuk merebut peluang berkenaan.

“Bagi syarikat yang tidak mempunyai simpanan tanah di kawasan berkenaan, mereka akan bertindak pantas membuat pembelian.

“Hartanah di kawasan berdekatan laluan MRT dijangka mencatat premium sehingga 30 peratus setahun,” katanya.

Beliau menamakan lima syarikat hartanah yang akan meraih manfaat daripada projek MRT berkenaan iaitu YTL Land, Selangor Properties, Guocoland Malaysia, Bolton dan SP Setia yang masing-masing mempunyai simpanan tanah di kawasan ‘hotspot’ terbabit.

Katanya, semua syarikat terbabit mempunyai imbangan tunai yang kukuh dengan trek rekod baik dalam pembangunan berkepadatan tinggi bagi membolehkan mereka membida stesen MRT untuk disepadukan atau dibangunkan berhampiran projek masing-masing.

Mei Hui menambah, walaupun projek MRT itu lambat untuk disiapkan, harga hartanah mula meningkat kerana pemaju mengambil peluang daripada akses lebih baik serta trafik lebih tinggi di kawasan berkenaan.