Kota Bharu: PAS yang mempertahankan Amanat Hadi, kini menerbitkan buku bagi menyokong amanat berkenaan.

Buku yang diterbitkan oleh Lajnah Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan dan dijual pada harga RM4 senaskah, mempertahankan amanat Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang yang dibuat pada 1981.
Buku yang baru dijual sejak seminggu lalu itu dikatakan mendapat sambutan daripada ahli PAS.


Penceramah bebas, Zulkifli Mohamed, 49, bimbang penjualan buku itu akan menambahkan lagi kekeliruan di kalangan orang ramai berhubung dengan isu politik yang disamakan dengan agama.

Apabila dijual di tempat terbuka dan harga yang rendah, maka orang ramai akan membeli, sekali gus menguatkan lagi anggapan mereka terhadap kebenaran amanat berkenaan.

Ia dikuatkan lagi dengan teks ucapan beberapa tokoh ulama, sekali gus menyebabkan orang ramai mudah percaya, katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Berikutan itu, Zulkifli meminta kerajaan memantau penjualan buku berkenaan kerana kesan amanat Hadi sudah mencetuskan fenomena buruk seperti sembahyang dua imam, tidak sah makan sembelihan orang UMNO dan sebagainya.
Pandangan sama dilemparkan Pentadbir Mukim Wakaf Bharu, Rosli Ab Ghani, 48, yang meluahkan kebimbangannya terhadap penerimaan pengikut yang taksub dengan kepimpinan PAS.

Kalau orang yang berpendidikan tinggi, mungkin akan mempertimbangkan kebenaran yang terkandung di sebalik amanat itu, tapi bagaimana dengan pengikut yang taksub terutama orang kampung yang senang untuk digula-gulakan.

Saya berharap Jabatan Agama Islam Kelantan (JAIK) tidak teragak-agak mengambil tindakan termasuk menyaman pihak terbabit bagi mengelakkan penularan pembohongan, katanya.