NIBONG TEBAL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau pergerakan dan aktiviti yang mempunyai kaitan dengan keganasan dari semasa ke semasa bagi membendung gejala itu terus merebak sama ada di dalam negara mahupun di luar negara.

Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, walaupun Malaysia kini berada dalam keadaan selamat dan aman tetapi pasukan polis sentiasa berjaga-jaga dan melakukan pemantauan.
"Polis sentiasa memantau aktiviti kumpulan pengganas ini walaupun keadaan aman ketika ini kerana air yang tenang jangan sangka tiada buaya," katanya ketika mengulas perkembangan semasa berhubung kegiatan kumpulan pengganas di negara ini.


Beliau sebelum itu melawat Pasar Awam Taman Berjaya di sini sempena program high profile policing.

Hadir sama dalam lawatan itu ialah Penyelaras Barisan Nasional (BN) kawasan Dewan Undangan Negeri (Kadun) Jawi, Tan Cheng Liang di sini, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, kegiatan pemantauan pergerakan dan aktiviti kumpulan pengganas ini juga tidak terhad hanya di Malaysia tetapi juga melibatkan kawasan sempadan dan beberapa negara jiran seperti Indonesia dan Filipina.

"PDRM juga sentiasa menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi khususnya pihak imigresen dan beberapa agensi antarabangsa, dan ada ketikanya kita akan ketatkan kawalan, kita mahu negara kita selamat dan rakyat rasa selamat untuk bergerak," katanya.
Beliau menegaskan, pihak PDRM sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan aktiviti kumpulan pengganas terus menular sehingga boleh mengancam keamanan negara.

"Kita tidak boleh rasa selesa sangat dan tugas ini juga adalah tanggungjawab bersama antara polis dan masyarakat setempat bagi melaporkan apa sahaja aktiviti yang menimbulkan kecurigaan," katanya. - BERNAMA