Pelan induk lapan tahun mampu ubah sektor PKS negara

Baru-baru ini, SME Corp Malaysia telah melancarkan ‘Pelan Induk PKS 2012-2020: Memangkin Pertumbuhan dan Pendapatan’ yang dilihat sebagai pelan 'game changer' bagi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Dokumen polisi berdasarkan bukti yang mengambil masa 15 bulan untuk disiapkan dan membabitkan kerjasama Bank Dunia itu, mengandungi fakta menarik dan pelan strategik komprehensif untuk tempoh 2012 hingga 2020, bagi PKS dalam semua sektor di Malaysia.
"PKS memainkan peranan amat penting di Malaysia, merangkumi 99.2 peratus daripada perniagaan tempatan”

Ia memaparkan fakta dan ciri-ciri utama PKS di Malaysia dan faktor yang mempengaruhi prestasinya secara keseluruhan.

Tidak dinafikan, PKS memainkan peranan amat penting di Malaysia, merangkumi 99.2 peratus daripada perniagaan tempatan.

Penyumbang utama KDNK

Antara statistik yang dipaparkan dalam dokumen itu, ada dinyatakan bahawa PKS menyumbang 32 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), 59 peratus kepada guna tenaga dan 19 peratus eksport Malaysia.
Pada 2020, pelan induk yang dirancang bakal meningkatkan sumbangan PKS kepada 41 peratus daripada KDNK, (di negara maju, lazimnya peratusannya ialah antara 40-60 peratus), 62 peratus daripada guna tenaga dan 25 peratus daripada eksport Malaysia – satu lonjakan yang ketara (dengan purata pertumbuhan tahunan 8.7 peratus) dalam tempoh hanya lapan tahun yang akan memacu Malaysia ke status negara maju berpendapatan tinggi.

Dalam tempoh 2004-2010, PKS telah menunjukkan pertumbuhan menggalakkan pada kadar purata tahunan 6.8 peratus, jauh melebihi purata KDNK keseluruhan 4.9 peratus.

Penemuan kajian menunjukkan produktiviti PKS di Malaysia keseluruhannya adalah rendah berbanding firma besar (dengan nilai hasil purata RM47,000, kira-kira satu pertiga firma besar domestik), dan PKS di negara maju (PKS di Amerika Syarikat dan Singapura masing-masing adalah tujuh kali dan empat kali lebih produktif berbanding PKS tempatan).

Lebih menarik lagi, firma yang menunjukkan pertumbuhan tinggi dan paling pesat berkembang menyumbang 70 peratus daripada KDNK tambahan dan 46 peratus daripada guna tenaga tambahan – bukti bahawa kualiti pertumbuhan syarikat, secara relatif, adalah lebih penting (dari segi KDNK) berbanding bilangan syarikat PKS yang ditubuhkan.

Justeru, salah satu sasaran utama Pelan Induk PKS (yang diakui akan mempunyai impak paling tinggi dalam meningkatkan kadar produktiviti dan tenaga kerja) adalah menambah bilangan firma yang mempunyai pertumbuhan tinggi (ditakrifkan sebagai pertumbuhan purata jualan sebanyak 30 peratus setahun) dan berinovasi tinggi.

Langkah utama yang akan diambil ialah penerapan inovasi dan teknologi yang merangkumi usaha meningkatkan akses kepada sistem inovasi kebangsaan, meningkatkan kadar pengkomersilan dan R&D dan menggiatkan lagi penggunaan teknologi oleh PKS.

Dari segi takrifan pula, PKS bersaiz sederhana dikategorikan sebagai ‘pemacu pertumbuhan’ yang membawa impak pertumbuhan paling tinggi.

Dalam sektor ICT khasnya (yang lazimnya dikenali sebagai sektor yang berinovasi tinggi, tapi dilonggokkan di bawah kategori sektor perkhidmatan), ‘pemacu pertumbuhan’ ditakrifkan sebagai syarikat PKS yang mempunyai jualan tahunan RM1 juta hingga RM5 juta dan mempunyai antara 20 hingga 50 orang pekerja, manakala ‘pendorong pertumbuhan’ adalah syarikat yang mempunyai jualan RM200,000 hingga RM1 juta dan mempunyai lima hingga 20 pekerja.

Perkembangan sektor ICT

Mengikut takrifan itu, saya amat yakin sektor ICT dan juga bidang teknologi tinggi lain akan menjadi salah satu pemangkin pertumbuhan tempatan, kerana sudah banyak syarikat teknologi tinggi yang diterbitkan melalui ekosistem inovasi tempatan (yang disokong kuat agensi kerajaan seperti Cradle, MDeC, MAVCAP, MTDC, KMP dan MDV) yang mempunyai kadar jualan tahunan dalam lingkungan itu.

Anehnya, sebahagian besar syarikat ICT yang dikomersilkan dan mempunyai kadar jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM3 juta, dan lazimnya ‘lekat’ dalam lingkungan berkenaan.

Kebanyakannya belum mampu tembus ke tahap pertumbuhan seterusnya, iaitu ke peringkat eksport serantau, walaupun setelah beroperasi lebih daripada lima hingga 10 tahun.

Bagaimanapun dari segi pertumbuhan ekonomi nasional – mereka dianggap sebagai ‘pemacu pertumbuhan’! Betapa bertuahnya mereka!

- Penulis ialah Ketua Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd (“Cradle”), sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan Malaysia yang membiayai idea teknologi dan mengkomersilkan perniagaan teknologi tempatan.

Untuk maklumat lanjut mengenai pembiayaan yang diberi oleh Cradle, sila layari laman sesawang kami di www.cradle.com.my, atau Facebook dan Twitter di /cradlefundsb.