PNB buka bidaan jual empat lagi syarikatOleh Che Wan Badrul Aliaschewan@bharian.com.my 2012/06/27 PERMODALAN Nasional Bhd (PNB) akan membuka bidaan bagi penjualan empat lagi syarikat yang bukan dalam bidang pelaburan terasnya bulan depan, kata Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Beliau berkata, ia akan melengkapkan rancangan pelupusan lima syarikat di bawah PNB bertujuan memberikan peluang kepada usahawan Bumiputera berpotensi dan terbukti mempunyai kemampuan untuk mengambil alih bagi memajukannya. Jelasnya, berbeza dengan bidaan bagi pelupusan FEC Cables (M) Sdn Bhd (FEC) awal bulan ini, bidaan bagi penjualan keempat-empat syarikat itu akan dilakukan serentak bagi memudahkan urusan pelbagai pihak. “Syarikat yang bakal dilupuskan ini pun akan melalui proses yang sama (menerusi tender terbuka), namun kali ini kita akan umumkan semua empat syarikat sekali gus pada Julai bagi memudahkan urusan. “Semua syarikat ini adalah perniagaan bukan teras bagi PNB atau anak syarikat kami, yang mana ia ditentukan oleh jawatankuasa bebas yang kami tubuhkan baru-baru ini. “Kami akan jual jika mereka tergolong dalam kriteria ini, tetapi jika ia memberikan impak besar kepada pengurusan dana kami, maka kumpulan akan mengambil keputusan mengekalkan pelaburan dalam syarikat terbabit,” katanya kepada sidang media selepas mengumumkan pengagihan pendapatan ASN2 di Kuala Lumpur, semalam. Teras perniagaan PNB ketika ini meliputi 10 sektor strategik iaitu perbankan & kewangan; perladangan; pengangkutan & logistik; farmaseutikal & kimia; perbankan Islam; insurans & takaful; tenaga, ultiliti, minyak & gas; hartanah; automotif; dan konsesi lebuh raya. Penganalisis pada Februari lalu, dilaporkan berkata, antara syarikat PNB yang berpotensi dilupuskan adalah Malaysia Building Society Bhd (MBSB); Formosa Prosonic Industries Bhd; Tracoma Holdings Bhd; dan NCB Holdings Bhd. Penganalisis itu berkata, semua syarikat terbabit memiliki prospek tinggi untuk menyokong dan meningkatkan pembabitan Bumiputera dalam sektor ekonomi negara. Sementara itu, Hamad Kama Piah berkata, jawatankuasa bebas yang ditubuhkan bagi mengendalikan pelupusan itu dipengerusikan Tan Sri Ainum Mohamed Saaid, iaitu salah seorang ahli lembaga pengarah PNB. Katanya, pembabitan Ainum bersama beberapa individu luar dalam jawatankuasa itu akan memastikan proses pemilihan dilakukan dengan adil, telus dan lebih teliti. “Mereka akan melakukan pemilihan yang terbaik, lebih-lebih lagi selepas kami menerima beberapa cadangan dan bidaan dikalangan pembida yang berminat memiliki FEC selepas ia dibuka untuk ditender baru-baru ini,” katanya. |