Pamg terima jemputan khas   MAS   sambut Pandelela di KLIA Pandelela bergambar bersama krew penerbangan MAS ketika perjalanan pulang ke KL, semalam.
"Selepas hampir setahun, akhirnya saya akan berjumpa kembali dengan Lela. Kami sangat rindukan Lela,” kata bapa penerjun negara, Pamg Joheng, sebelum berangkat ke Kuala Lumpur, malam tadi.

Pamg bersama isterinya, Hartini Lamim, berangkat ke ibu negara menyambut kepulangan anaknya yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik London, Pandelela Rinong yang dijadualkan tiba di tanah air jam 7-30 pagi ini.
Semalam, mereka menerima jemputan khas dari Penerbangan Malaysia (MAS) yang menaja tiket penerbangan ke Kuala Lumpur.


Mereka bersama rakyat Malaysia yang lain dijangka menyambut ketibaan Pandelela bersama kontinjen Malaysia yang dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Kali terakhir Pamg bertemu dengan anak keduanya itu ketika Lela balik ke Sarawak untuk menerima Anugerah Sukan Sarawak tahun lalu.

“Itupun Lela hanya balik sekejap saja. Saya dan ibunya hanya dapat berjumpa beberapa jam saja kerana dia menginap di hotel.

“Saya berharap jurulatihnya dapat memberi dia cuti agar dapat meluangkan masa bersama kami,” katanya yang merancang untuk mengadakan majlis sambutan untuk anak kesayangannya apabila pulang ke Sarawak.
Mereka sangat berharap impian itu akan menjadi kenyataan kerana majlis sambutan itu sangat bermakna bagi mereka serta keluarga selepas tidak berkesempatan meraikan kejayaan Lela ketika memenangi pingat emas Sukan Komanwel.

“Dulu pun dia menang, tapi kami tak sempat nak buat apa-apa. Kali ini, kalau jadi, kami nak buat sambutan di Kampung Jugan, Bau (Kuching),” katanya.

Bagi Hartini pula, walaupun dia turut berada di London menyaksikan Lela beraksi tetapi dia hanya sempat bercakap sekejap saja dengannya.

“Saya sendiri terkejut apabila dimaklumkan tengah hari tadi (semalam) kami dijemput ke Kuala Lumpur bagi menyambut Lela.

“Kami tidak sempat membuat sebarang persiapan termasuk memasak sebarang makanan untuk Lela,” katanya.