PASARAN pekerjaan di negara ini dijangka terus kukuh tahun ini, dengan pertambahan permintaan bagi pekerja berkemahiran khususnya dalam bidang berkembang pesat seperti kewangan Islam serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Mengikut tinjauan penyedia penyelesaian tenaga kerja global, Kelly Services (Malaysia) Sdn Bhd, peningkatan peluang pekerjaan juga akan dapat disaksikan dalam sektor perbankan, perkhidmatan, kejuruteraan, bioteknologi dan telekomunikasi.
Tinjauan itu juga mendapati, profesional dan pekerja berkemahiran dalam sektor itu dijangka meraih kenaikan gaji antara 15 hingga 20 peratus, di samping ditawarkan pakej komisyen dan insentif menarik bagi sektor terpilih.

Pengarah Urusan Kelly Singapura dan Malaysia, Melissa Norman, berkata pasaran pekerjaan dijangka terus kukuh walaupun berlakunya penghijrahan pekerja mahir ke luar negara.

“Kami mendapati adanya aliran keluar pekerja mahir ke negara serantau, namun aliran kemasukan pekerja mahir ke dalam negara juga semakin ketara kerana ramai yang bersedia bertukar pekerjaan.

“Malah, ada juga majikan yang sanggup membayar gaji lebih tinggi untuk menarik pekerja berkemahiran kerana mereka hanya memerlukan latihan minimum,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Tinjauan Pekerjaan dan Panduan Gaji Kelly 2011/2012 di Kuala Lumpur, semalam.

Tinjauan berkenaan yang masuk tahun kelima diterbitkan itu adalah sebagai rujukan komprehensif terhadap aliran gaji, jawatan kerja serta tinjauan pekerjaan seluruh industri di pasaran Malaysia.
Berdasarkan tinjauan itu, gaji bagi pekerja berbakat dan berkemahiran dengan lebih lapan tahun pengalaman meningkat antara 15 hingga 20 peratus.

Sementara itu, bagi eksekutif dan eksekutif kanan dengan pengalaman kira-kira lima tahun, kenaikan gaji mereka ialah antara lima hingga 10 peratus.

Sejajar dengan usaha Malaysia menjadi pusat perbankan dan kewangan Islam utama di Asia, beliau berkata keperluan untuk bakat khusus dalam sektor itu dijangka terus meningkat.

Melissa berkata, syarikat ICT dalam bidang animasi, pasca penerbitan, e-pembelajaran, kandungan mudah alih serta kreatif ketika ini menawarkan perkhidmatan lebih 7,000 profesional dan berpengalaman.

“Jawatan dalam industri ICT meningkat sekali ganda berbanding jawatan dalam industri lain. Dengan kemajuan teknologi semakin canggih, jawatan seperti perangkaian, keselamatan dan multimedia kreatif dijangka menjadi jawatan popular dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata, peluang pekerjaan juga cerah dalam industri pusat panggilan yang kini mempunyai 600 pusat panggilan serta jumlah pekerjaan yang dijangka meningkat kepada 32,470 tahun bagi tempoh dua tahun ini.

Katanya, kepesatan pembangunan industri mempercepatkan pengambilan pekerja yang mana kebanyakan syarikat mengutamakan pekerja berfikiran kritis, mampu menyelesaikan masalah serta boleh berkomunikasi dengan baik.