Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata langkah itu dilihat perlu bagi memastikan situasi kemalangan seumpama dapat dikawal dengan pantas.
Katanya, pada masa ini negeri yang mempunyai pasukan HAZMAT ialah Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor dan Terengganu serta sebuah di Akademi Bomba dan Penyelamat yang digunakan untuk tujuan latihan.
Beliau berkata, anggota HAZMAT sedia ada di negeri berkenaan juga akan ditambah jika didapati mereka memerlukannya.
"Saya melihat penambahan HAZMAT ini adalah satu keperluan kerana baru-baru ini terjadi lagi kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh, Melaka, yang membabitkan treler membawa tong berisi asid nitrik," katanya.
Merujuk kemalangan itu, beliau turut menasihatkan pemandu yang membawa bahan berbahaya agar menggunakan lebuh raya pada waktu kurang sesak bagi mengurangkan impak kepada pengguna lain.
Pada majlis hari ini beliau turut menyerahkan empat jentera bomba yang akan diguna bagi siasatan kebakaran, lapan kenderaan pelbagai guna dan tiga buah kenderaan pacuan empat roda kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan. - BERNAMA
RP RP NM
