Bajet 2013 seharusnya turut memasukkan langkah untuk mengekang kenaikan berterusan harga rumah bagi membantu kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana serta menyediakan lebih banyak tanah untuk rumah mampu milik.

Pengarah Eksekutif Kanan PricewaterhouseCoopers Taxation, Steve Chia, berkata peruntukan untuk rumah mampu milik kekal berada di tempat teratas senarai harapan orang ramai.
Beliau berkata, wujud keperluan untuk menyediakan insentif dan sokongan untuk menambah rumah mampu milik.

Beliau turut merujuk kepada skim untuk kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana, yang mana perlu diperhalusi dari segi meningkatkan kelayakan pendapatan isi rumah daripada RM2,500 sebulan kepada RM3,000.

“Diharapkan juga lebih banyak tanah diperuntukkan untuk perumahan seperti projek perumahan 1Malaysia atau Prima,” katanya kepada pemberita mengenai harapan Bajet 2013.

Katanya, pemaju wajar menyumbangkan kepada amanah ataupun yayasan yang akan menyelaraskan pembinaan, peruntukan dan penyenggaraan rumah kos rendah bagi menggalakkan lebih banyak unit berkenaan dibina.