Menjelang Bajet 2013 Jumaat ini, ramai daripada kalangan komuniti bisnes mengharapkan satu bajet yang probisnes dan berupaya menggalakkan pertumbuhan pelaburan sektor swasta.

Saya juga begitu. Sejak tahun 2009, antara mandat yang diberi Kementerian Kewangan dan kerajaan kepada Cradle, adalah menghidup dan menyuburkan kembali pertumbuhan ‘pelabur budiman’ ataupun ‘angel investors’ untuk membiayai pelaburan peringkat awal dalam sektor yang berkait teknologi tinggi. Kini, kebanyakan pelaburan peringkat awal ini dibiayai kerajaan, melalui geran, modal teroka atau pinjaman dan pergantungan ini adalah hampir secara kesuluruhannya. Jumlahnya beratus-ratus juta secara kolektif, dalam setiap Rancangan Malaysia.
Jika kita mengkaji landskap pembiayaan teknologi di Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa fenomena akan kita sedari.


Perubahan aliran pelaburan

Antaranya ialah sektor modal teroka yang masih berkecimpung dalam sektor berisiko tinggi dalam sektor swasta sudah mengecil dan kebanyakan syarikat modal teroka swasta beralih arah ke bahagian ekuiti swasta (‘private equity’) yang melabur dalam bisnes atau projek yang lebih matang dan stabil, bukannya yang berisiko tinggi di peringkat awal.

Daripada lebih 60 syarikat modal teroka berdaftar di Malaysia, hanya tinggal kurang daripada 10 syarikat modal teroka yang masih lagi bergiat dalam bahagian modal teroka (‘venture capital) dan jika kita ukur pembabitan peringkat pembiayaan awal, hampir keseluruhan pembiayaan peringkat awal dijalankan oleh badan-badan atau agensi pembiayaan milik kerajaan ataupun oleh syarikat modal teroka swasta yang menerima sebahagian dana mereka daripada kerajaan.

Situasi ini adalah sesuatu yang tidak sihat kerana ia menunjukkan kekurangan pembabitan sektor swasta dalam pembiayaan syarikat berteknologi tinggi dan berinovasi, terutama di peringkat awal. yang mana tambah nilai atau ‘value-add’ daripada pihak swasta untuk menggalakkan pertumbuhan tinggi dan giat dalam syarikat berinovasi yang kecil dan muda amat diperlukan.
Kerajaan bukan pemegang tongkat sakit

Usaha kerajaan dalam pembiayaan sektor ini sepatutnya bersifat sementara sahaja sebagai pendekatan ‘stop-gap’ tempoh jangka masa sederhana dan tidak sebagai tongkat sakti yang kekal. Sebenarnya, tiada agensi kerajaan yang mampu membiayai dan memberi nilai tambah berfokus dengan rata kepada semua syarikat yang dibiayai, yang mungkin beratus banyaknya.

Kita memerlukan sesuatu insentif untuk menggerakkan sektor swasta bagi menceburi pembiayaan peringkat awal. Lazimnya, dalam kalangan negara yang lebih maju seperti di Amerika Syarikat, Great Britain mahupun Perancis – pembiayaan peringkat awal ini diterajui golongan ‘angel investors’ atau pelabur budiman.

Dari segi definisinya, pelabur budiman adalah pelabur individu yang membiayai syarikat berinovasi dan berteknologi tinggi yang bersifat berisiko tinggi untuk pulangan yang tinggi. Mereka bukan semestinya pelabur yang pasif, tapi lazimnya lebih aktif dalam memberi tunjuk ajar atau tambah nilai (‘value-add’) dan sokongan bisnes kepada syarikat yang telah mereka berikan pelaburan. Oleh kerana bilangan syarikat yang mereka berikan pelaburan ini adalah kecil, mereka boleh memberi fokus yang khusus dan ini menggalakkan pertumbuhan tinggi dalam syarikat berkenaan.

Di Amerika Syarikat, pelabur budiman sudah menjadi pemangkin peringkat awal kepada syarikat teknologi gergasi seperti Google, Facebook, Paypal dan banyak lagi syarikat yang lain. Dari segi kadar pelaburan peringkat awal, pelabur budiman di Amerika Syarikat melabur tujuh kali lebih modal daripada syarikat modal teroka.

Beri impak besar

Walaupun kebiasaannya, pelaburan mereka mungkin antara AS$20,000 (RM60,562) hingga AS$2 juta (RM6 juta) tetapi dari segi pelaburan individu ataupun bersindiket, impak mereka secara kolektif dari segi makro, pencapaian ekonomi mahupun keuntungan/pertumbuhan syarikat, amat besar.

Dalam tahun 2009, lima peratus daripada pekerjaan baru di Amerika Syarikat diwujudkan oleh syarikat yang dibiayai pelabur budiman. Pulangan pelabur ini pula lebih kurang hampir tiga kali pelaburan dalam tempoh empat tahun., satu kadar pulangan yang amat menggalakkan.

Di Great Britain pula, sejak tahun 1995, kerajaan mereka memperkenalkan insentif potongan cukai individu yang sudah menggalakkan pertumbuhan pelabur budiman, terutama daripada kalangan pelabur yang berpendapatan tinggi ataupun bernilai bersih tinggi. Hasilnya, Britain sekarang mempunyai 15,000 orang pelabur budiman dan lebih daripada 150 rangkaian pelabur budiman (angel networks atau angel clubs).

Pada waktu ini, kadar pelaburan pelabur budiman di Britain sudah menjangkau 850 juta paun setahun (tanpa pergantungan kepada kerajaan) dan daripada 44 peratus pelaburan yang berjaya, ia sudah memberi pulangan kolektif 2.2 kali daripada amaun pelaburan keseluruhannya, termasuk pelaburan yang gagal.

Sembilan peratus daripada syarikat yang dibiayai pelabur budiman sudah menjana pulangan pelaburan melebihi 10 kali ganda! Di Malaysia pula, ketika ini berdasarkan anggaran mutakhir Asian Wall Street Journal, terdapat seramai 39,000 jutawan. Pasaran jutawan kita (dan belum lagi mengambil kira individu-individu berpendapatan tinggi) cukup besar untuk membina satu komuniti pelabur budiman yang efektif, walaupun hanya jika ada 1,000 hingga 3,000 pelabur budiman yang aktif dalam tempoh 10-15 tahun akan datang.

Potensinya jelas, keperluan menarik pelaburan swasta (dan kepakaran tambah nilai) kepada sektor berinovasi dan berteknologi tinggi (dan menjauhi aktiviti spekulatif seperti pelaburan hartanah yang keterlaluan) tidak lagi diragui dan saya amat berharap yang insentif potongan cukai untuk pelabur budiman (yang telah dikemukakan oleh Cradle dan diperjuangkan sejak 2 tahun yang lalu) akan menjadi salah satu insentif inovasi yang akan diumumkan pada Bajet 2013 nanti.
Sama-sama kita doakan, insya-Allah!