SUNGAI PETANI: Seorang pelajar tahfiz berusia 9 tahun terlantar di hospital sejak empat hari lalu, dipercayai diliwat, dipaksa melakukan seks oral dan didera oleh tiga pelajar senior berusia 12 tahun sebuah sekolah agama tahfiz swasta di Kupang Baling di sini, ketika mengikuti minggu suai kenal selama 40 hari, bermula Jun lalu.

Bapa pelajar terbabit yang enggan dikenali berkata, anaknya yang hanya dibenarkan ditemui selepas minggu suai kenal yang dikenali sebagai tempoh berpantang itu tamat 30 Julai lalu mengadu dia diliwat setiap malam dan akan dibelasah jika menangis oleh pelajar senior itu.
Selain anaknya, beliau mendakwa dua lagi pasangan kembar berusia lapan tahun turut di dera teruk hingga trauma tetapi mereka tidak mengadu diliwat. Sepanjang tempoh suai kenal itu, semua pelajar dilarang menghubungi keluarga atau waris mereka.

Beliau berkata, anaknya hanya merasai suasana selesa sebagai seorang pelajar selama seminggu sebelum kejadian itu.

Beliau berkata, niatnya menghantar anaknya ke sekolah agama terbabit untuk menjadi pelajar cerdik al-Quran hancur apabila anaknya diperlakukan seperti haiwan dan lebih malang mendapat pembelaan sewajarnya daripada pihak sekolah.

“Saya sedih dengan kejadian yang menimpa anak kerana tindakan murid yang hanya berusia 12 tahun mendera kanak-kanak 9 tahun dengan pelbagai cara, langsung tidak masuk akal.

“Pada mulanya kami sekeluarga memang tidak menyangka anak saya dipukul kerana pihak sekolah memberitahu ia adalah kesan alahan.
“Bagaimanapun, hati saya tersentak apabila doktor memberitahu, anak saya kena dera dan diliwat.

“Sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu saya membuat laporan polis pada 30 Julai lalu iaitu pada petang hari saya dibenarkan berjumpa anak saya.

“Anak saya juga mengadu tidak tahan dengan sikap guru di sekolah berkenaan yang tidak menyiasat sesuatu kejadian menyebabkan dia sering mengalah kepada pelajar senior berkenaan,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu pada 30 Julai lalu dan siasatan sedang dijalankan.