BENTONG: Kegembiraan 10 warga Singapura berkelah di Pusat Rekreasi Lata Hammer, Batu Tujuh dekat sini bertukar tragedi apabila pemandu pelancong mereka mati lemas tengah hari semalam.

Kevin Tan Chew, 42, dari Petaling Jaya, Selangor disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada kira-kira 12.30 tengah hari selepas menyelamatkan seorang daripada pelancong berkenaan daripada lemas.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, sebelum kejadian, mangsa yang sedang berehat di tebing dikatakan terdengar jeritan pelancong itu meminta tolong.

Beliau berkata, mangsa kemudian terjun ke dalam air dan berjaya menyelamatkan pelancong terbabit.

Katanya, selepas menaikkan warga Singapura berkenaan ke darat, mangsa dikatakan terjatuh semula ke dalam air sebelum tenggelam dibawa arus.

Mohamad Mansor berkata, susulan kejadian itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong bergegas ke lokasi untuk operasi mencari serta menyelamat mangsa.

Beliau berkata, mangsa ditemui tiga jam kemudian dan dikejar ke Hospital Bentong untuk rawatan.
"Bagaimanapun, doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia di tempat kejadian akibat lemas sebelum mayat mangsa dituntut anggota keluarganya malam tadi," katanya. - BERNAMA