SEPANG: Walaupun gagal meraih emas pertama, kejayaan kontinjen negara mengulangi pencapaian di Atlanta, Amerika Syarikat pada 1996 dengan satu perak dan satu gangsa pada Olimpik London tetap membanggakan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata kontinjen negara di London juga mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi pingat menerusi acara sukan selain badminton.
"Kita boleh katakan ini satu peningkatan yang besar. Selain itu, kita juga menyaksikan penampilan atlit-atlit kita dalam lapan acara akhir dan sekiranya prestasi ini terus diperbaiki, sasaran untuk mendapat pingat berada dalam jangkauan kita," katanya.


Beliau yang ditemui pemberita selepas menyambut ketibaan skuad akuatik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, bagaimanapun mengulangi permohonan maaf kepada rakyat Malaysia atas kegagalan kontinjen negara meraih emas pertama.

"Walaupun kita tidak mencapai sasaran kita tetapi pembabitan rakyat dalam memberi sokongan kepada atlit-atlit kita sangat membanggakan," katanya.

Pada temasya Olimpik London yang baru berakhir, Malaysia meraih pingat perak melalui Datuk Lee Chong Wei dalam acara badminton perseorangan lelaki dan Pandelela Rinong Pamg meraih gangsa dalam acara terjun 10 meter platform wanita.

Di Atlanta, kedua-dua pingat negara diraih menerusi acara badminton iaitu perak dimenangi beregu lelaki Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock, manakala gangsa disumbang Rashid Sidek menerusi perseorangan lelaki.
Malaysia menamatkan saingan Olimpik London di tangga ke-63 daripada 85 negara yang meraih pingat dan berkongsi kedudukan dengan lima negara lain iaitu Bulgaria, Estonia, Indonesia, Puerto Rico dan Taiwan.

Malaysia menghantar 30 atlit yang bersaing dalam tujuh acara iaitu memanah, badminton, berbasikal, akuatik, pelayaran, lawan pedang, menembak dan olahraga pada Sukan Olimpik London.

Pada temasya Sukan Olimpik London itu, atlit Malaysia juga berjaya menempatkan diri dalam lima saingan akhir acara terjun serta masing-masing satu dalam acara berbasikal, badminton dan renang marathon.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki oleh atlit negara.

Ahmad Shabery turut memuji pencapaian pelumba berbasikal trek, Mohd Azizulhasni Awang yang memperbaiki pencapaian empat tahun lalu di Beijing dengan mara ke peringkat akhir dan menamatkan saingan di tempat keenam.

“Pujian juga perlu diberikan kepada Khairul Anuar Mohamad (memanah), Yu Peng Kean (lawan pedang), Yeoh Ken Nee (terjun) dan Heidi Gan (renang marathon 10km wanita),” katanya. - BERNAMA