gambar sebelum  gambar berikut
Foto

Pemberian baucar pemeriksaan kesihatan antara program kesihatan dilaksanakan tahun ini.

Foto

Bas khas sediakan pemeriksaan bergerak sempena kempen kesedaran awal barah payudara.

Foto

Pusat Perubatan Prince Court diiktiraf hospital terbaik dunia bagi kategori hospital pelancongan perubatan.

Pelbagai inisiatif diperkenal, pupuk kesedaran awal antara agenda utama kempen kesihatan 2013

Kalendar kesihatan tahun ini menutup tirai dengan pelbagai inisiatif diperkenalkan kerajaan dan program yang giat dijalankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta peneraju kesihatan, termasuk kempen, ujian saringan kesihatan dan sesi ceramah bagi mewujudkan kesedaran kepada masyarakat.
Ternyata, kesedaran dilihat benteng utama dalam pencegahan penyakit, sama ada berjangkit atau sebaliknya. Saranan sering diperkatakan pakar kesihatan, mencegah lebih baik daripada merawat, ada kebenarannya.


Melalui pencegahan dan langkah penjagaan awal, bukan saja mengurangkan risiko lebih teruk, tetapi turut dapat menyelamatkan nyawa, malah mengurangkan kos rawatan perubatan. Bagaimanapun, ia memerlukan kesedaran dan usaha berterusan serta langkah lebih proaktif.

Justeru, keputusan kerajaan memansuhkan subsidi gula tahun ini perlu dilihat sebagai galakan kepada rakyat untuk mengamalkan gaya hidup sihat di samping, mengurangkan jumlah pesakit diabetes yang dilaporkan semakin bertambah iaitu 650,000 setiap tahun di diagnosis penyakit berkenaan.

Lebih membimbangkan, ketika ini 2.6 juta rakyat negara ini yang berusia 30 tahun ke atas menghidap penyakit itu. Angka ini dijangka akan terus meningkat sekiranya tiada inisiatif masyarakat untuk mencegah dan mengelakkan diri daripada dihidapi penyakit berkenaan.

Subsidi gula dihapus
Pemansuhan 34 sen subsidi gula yang dibentangkan dalam Bajet 2014 dan dilaksanakan 24 Oktober lalu, mempunyai matlamat yang jelas antaranya untuk mengelakkan rakyat terbabit dengan pelbagai penyakit berbahaya.

Walaupun ramai merungut kenaikan gula memberi kesan kepada perbelanjaan harian, pemansuhan subsidi dilihat secara langsung mengurangkan penggunaan berlebihan gula dalam makanan atau minuman.

Begitu juga penyakit lain seperti kanser yang boleh merebak dengan cepat. Walaupun sesaat terlewat pemeriksaan, nyawa berada dalam bahaya. Oleh itu, saranan kerajaan dan NGO berkaitan supaya mendapat saringan awal kanser perlu dipandang serius.

Bagi menangani pertambahan kes kanser, melalui pembentangan bajet 2014, kerajaan mengumumkan suntikan imunisasi Human Papilloma Virus (HPV) dan pemeriksaan ujian mamogram yang sedia ada diteruskan. Nilai peruntukan RM9 juta diumumkan tahun ini, memberikan manfaat lebih 8,000 pesakit kanser payudara. Jadi, tiada sebab untuk wanita tidak mahu menjalani pemeriksaan kesihatan apabila ia tidak membabitkan kos dan dibantu kerajaan sepenuhnya.

Baucar percuma

Dalam usaha memupuk kesedaran cegah sebelum terlambat, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut berperanan dalam mencegah pelbagai penyakit kronik dengan julung kali tahun ini memperkenalkan, baucar Program Pemeriksaan Kesihatan PERKESO (HSP).

Baucar berkenaan diperkenalkan pada Januari lalu dan dikeluarkan kepada pencarum berumur 40 tahun ke atas. PERKESO mengeluarkan baucar pemeriksaan kesihatan percuma kepada 1.9 juta pencarumnya dan memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM200 juta.

Bagaimanapun, agak mengecewakan kerana sehingga pertengahan Disember, hanya 280,000 pekerja menjalani pemeriksaan berkenaan. Jumlah ini menunjukkan, walaupun ‘percuma’, masih ramai yang tidak mempunyai kesedaran dalam menjalani saringan penyakit.

Demam denggi meningkat

Dalam mencegah dan menangkis pelbagai jenis penyakit, tahun ini masyarakat terus gusar dengan kes demam denggi di seluruh negara yang membimbangkan dengan empat negeri merekodkan peningkatan mendadak. Negeri Sembilan mencatat kes tertinggi, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pulau Pinang serta Melaka.

Walaupun sudah banyak kempen dan program dilakukan terutama mengenai penjagaan kebersihan, kes demam denggi masih tidak dapat dikurangkan. Jumlah kumulatif kes demam denggi di seluruh negara turut mencatatkan peningkatan kepada 39,222 kes bagi tempoh 1 Januari hingga 14 Disember tahun ini, berbanding 20,923 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Lebih membimbangkan, jumlah kematian bagi kes demam denggi turut mencatatkan pertambahan dengan 83 kematian berbanding hanya 35 kematian bagi tempoh sama tahun lalu.

Ayam ragut nyawa

Tahun ini, turut menyaksikan beberapa kes yang meragut nyawa akibat keracunan makanan. Dua kejadian menggemparkan pada Oktober lalu membabitkan ayam sebagai ejen penyebab penyebaran bakteria Salmonella berlaku kepada 271 pelajar Sekolah Menengah (SM) Sains Tapah. Kejadian dipercayai berlaku selepas semua pelajar terbabit menjamah lauk ayam masak kurma yang dihidangkan ketika makan malam.

Selang beberapa hari, masyarakat dikejutkan sekali lagi dengan kematian seorang pelajar dan dua dewasa selepas makan ayam masak merah ketika menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Huma, Tanjung Dawai, Sungai Petani. Ayam masak merah itu dilaporkan sudah dijangkiti bakteria Salmonella. Malah, lebih 200 tetamu yang hadiri dikejarkan ke hospital selepas mengalami sakit perut, demam, sakit kepada dan muntah.

Tingkatkan pendidikan kesihatan

Mengambil iktibar terhadap kes dan insiden yang berlaku sepanjang tahun ini, dicadangkan ilmu pendidikan kesihatan diterapkan semula di peringkat awal kanak-kanak, sekolah rendah, menengah dan diperhebatkan lagi di peringkat nasional supaya lebih ramai rakyat sedar kepentingan menjaga kesihatan.

Kempen dan program berkaitan kesejahteraan kesihatan yang sedia ada perlu diperhebatkan lagi. Masyarakat pula tidak sewajarnya memandang remeh isu kesihatan kerana risiko atau kesan diterima mungkin menyebabkan penyesalan yang tiada penghujungnya.

Kemajuan perubatan

Rakyat Malaysia juga harus berbangga kerana kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan kemajuan dan kepakaran dunia perubatan di negara ini.

Mencipta sejarah tahun ini, kerajaan mengumumkan melancarkan projek Hospital Pakar Kanak-kanak Permata, yang pertama di negara ini di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Hospital bernilai RM606 juta yang dijadualkan siap pada 2017 dibina bersebelahan Pusat Perubatan UKM (PPUKM) di Cheras. Apabila siap nanti, ia menjadi hospital pertama memfokus disiplin pediatrik atau kesihatan kanak-kanak. Ciri hospital yang bakal dibina itu unik kerana ia mesra kanak-kanak dan ibu bapa.

Rawatan terkini

Selain itu, beberapa perkhidmatan perubatan terkini dan lebih maju turut diperkenalkan tahun ini. Manfaat diterima bukan saja membantu rakyat negara ini, malah membuka peluang kepada destinasi pelancongan perubatan pilihan.

Amat membanggakan, tahun ini Hospital Pakar Ampang Puteri menjadi hospital pertama di Malaysia menawarkan pembedahan MIS tulang belakang yang rawatannya berbeza dengan kaedah konvensional. Teknik rawatan diperlukan ketika ini ialah menerusi pembedahan minima invasif (MIS) tulang belakang.

Berbanding prosedur pembedahan tulang belakang konvensional MIS dibantu dengan peralatan canggih berkomputer dan teknik pembedahan minimum mengurangkan kesakitan. Kelebihan prosedur itu mengurangkan rasa sakit, cepat sembuh, memendekkan masa pembedahan, kurang kerosakan pada tisu lembut, selain saiz tusukan pembedahan yang lebih kecil, sekali gus menyebabkan bekas tusukan kurang berparut.

Sistem Penyahmampatan SpineView MIS digunakan bagi memudahkan capaian dan penggambaran di bahagian serviks, toraks atau lumbar tulang. Ia menggunakan peralatan pembedahan bagi prosedur tulang belakang intervensional seperti diskektomi, nukleotomi dan foraminotomi.

Diiktiraf hospital terbaik

Sementara itu, Pusat Perubatan Prince Court (PCMC), tahun ini diiktiraf hospital terbaik dunia bagi kategori hospital pelancongan perubatan oleh organisasi antarabangsa bebas, Medical Travel Quality Alliance (MTQUO), bagi 2013.

Kedudukan kedua selepas PCMC ialah Asklepios Klinik Barmbek, Jerman diikuti Clemenceau Medical Center, Lebanon; Fortis Hospital Bangalore, India; Wooridul Spine Hospital, Korea; Bumbungrad International, Thailand; Anadulu Medical Center, Turki; Bangkok Hospital Medical Center, Thailand; Gleneagles Hospital, Singapura dan Asia Heart Institute, India.

Pemilihan dilakukan berdasarkan kaedah penjagaan pesakit luar negara yang menepati protokol klinikal standard, selain kaedah rawatan terbaik ditawarkan PCMC. Kejayaan PCMC diumumkan MTQUO melalui siaran media, pada 8 Mei lalu di Bangkok dan Scottdale, Arizona, Amerika Syarikat.