Pencemaran sungai seluruh Selangor dikaji

Pencemaran sungai seluruh Selangor dikaji

2013/09/08

Shah Alam: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) akan membuat pemantauan dan kajian pencemaran sungai di seluruh negeri termasuk Sungai Selangor bagi mengenal pasti puncanya.

Pengarah JKNS, Datuk Dr Azman Abu Bakar, berkata kajian dibuat menggunakan pelbagai kaedah seperti persampelan di loji kumbahan, permukaan air di sungai dan saluran paip bagi memastikan bekalan air mentah di Selangor bersih.

“Kita akan buat pemantauan secara konsisten terhadap sungai di seluruh negeri termasuk Sungai Selangor. Tindakan segera akan diambil jika ada aduan mengenai punca pencemaran sungai,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Terdahulu, beliau merasmikan majlis pelancaran kempen 'Nak Sihat' sempena Gegar 10,000 Langkah Merdeka peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Zainudin Abd Wahab; pegawai dan pengarah hospital serta 1,500 peserta.

Dr Azman berkata, kajian dijalankan berikutan dakwaan pakar penyelidik air dari Universiti Kyoto, Profesor Nobumithu Sakai yang mendakwa Sungai Selangor dicemari Polychlorinated biphenyls (PCBs) selepas membuat penyelidikan ke atas sampel Sungai Selangor.