Kuala Lumpur: Kerajaan dijangka meraih pendapatan lebih daripada RM200 bilion tahun ini, melepasi sasaran awal sebanyak RM187 bilion.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai, berkata pendapatan tambahan itu akan membolehkan kerajaan menambah bantuan kewangan kepada rakyat, seperti cadangan edisi kedua Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada Bajet 2013.
Katanya, sehingga Jun 2012, Perbendaharaan merekodkan pendapatan berjumlah RM99 bilion.

Kutipan cukai

"Peningkatan itu sebahagian besarnya hasil daripada kutipan cukai yang dipertingkat, sumbangan yang lebih tinggi daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta pertumbuhan transaksi hartanah.

"Pihak berkuasa akan terus membanteras aktiviti haram seperti penyeludupan yang akan menambah pendapatan kerajaan," katanya kepada media selepas melancarkan Sidang Kemuncak CFO (Ketua Pegawai Kewangan) 2012, di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam ucapannya sebelum itu, Lim berkata, ekonomi dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan pada dua suku berbaki tahun ini.
Ini dibuktikan menerusi peningkatan indeks utama pada purata 1.4 peratus dari Oktober 2011 hingga Mac 2012. Indeks itu memantau unjuran prestasi ekonomi.

"Dari segi permintaan, pertumbuhan dijangka meningkat dalam penggunaan swasta serta aktiviti pelaburan yang tinggi.

"Bagi bekalan, pertumbuhan akan disokong oleh peluasan berterusan dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan," katanya.

CFO perlu menjadi model

Lim juga berkata, dalam tadbir urus korporat, CFO perlu menjadi model ketua pegawai integriti dalam melaksanakan amalan baik dalam organisasi secara menyeluruh.

Katanya kelembapan kewangan semasa mencetuskan minat baharu terhadap keupayaan CFO yang menghadapi cabaran besar dalam peranan masing-masing.

"Justeru, CFO perlu melengkapkan diri masing-masing dengan kemahiran dan pengetahuan bersesuaian bagi membolehkan mereka menetapkan arah tuju pertumbuhan strategik dalam organisasi mereka," katanya.
BERNAMA