PUTRAJAYA: Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci untuk menunaikan Rukun Islam kelima bagi tahun ini ialah pada 29 September ini, kata Pengurus Besar Kanan Lembaga Tabung Haji, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Syed Saleh berkata, 450 jemaah haji itu akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang melalui penerbangan sewa khas haji iaitu pesawat Malaysia Airlines (MAS) dan Saudi Airlines pada hari berkenaan iaitu pada waktu pagi dan tengah hari.
Mereka adalah sebahagian daripada 28,000 jemaah haji Malaysia yang dibenarkan mengikut kuota yang ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi pada musim haji tahun ini.

Bercakap kepada pemberita di sini malam tadi selepas menghadiri pelancaran Kursus Perdana Haji peringkat Wilayah Persekutuan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim, beliau berkata, jemaah haji Malaysia ketika ini sedang mengikuti peringkat akhir kursus haji iaitu kursus perdana di peringkat negeri selepas menghadiri kursus asas dan kursus intensif.

"Persiapan sudah lengkap. Sekarang cuma tunggu nak berangkat dan surat untuk memaklumkan jadual penerbangan sudah dikeluarkan secara berperingkat sejak awal September," katanya.

Syed Saleh berkata, seramai 800 petugas Tabung Haji akan bertugas kali ini untuk menjaga kebajikan para jemaah dan mereka akan berangkat ke sana secara berperingkat bermula Rabu depan.

"Penerbangan jemaah haji balik ke Malaysia dijadual bermula 12 November dan dijangka berakhir 11 Disember," kata Syed Saleh.
Sementara itu, Mashitah dalam ucapannya menasihatkan jemaah haji Malaysia supaya menjaga kesihatan masing-masing, menjaga percakapan, tingkah laku dan disiplin masing-masing demi nama baik negara.

Sehingga hari ini, Mashitah berkata, Tabung Haji dikenali sebagai antara agensi yang berjaya melahirkan jemaah haji yang terbaik di peringkat antarabangsa dan berharap pengiktirafan itu dapat dikekalkan melalui kerjasama semua jemaah haji Malaysia. - BERNAMA