Penyanyi popular sedang kenali hati budi Jules

Rabu lalu, muka depan HIP menyiarkan Yunalis Zarai atau Yuna, dilamun cinta bersama teman barunya yang juga seorang jurugambar, Julian Schratter.

Menerusi gambar diletakkan di akaun Instagram dan juga kata-kata penuh makna di Tumblr, ia membayangkan kelopak cinta sedang mekar di taman hati gadis berusia 26 tahun ini.
Meskipun tiada pengakuan dibuat penyanyi ini, namun berdasarkan gambar serta ayat dilakar Yuna, jelas ada sesuatu antara mereka.

Justeru, sidang media menerusi Skype bersama penyanyi itu berkenaan konsertnya di Istana Budaya (IB), di ibu kota, semalam, memberi peluang HIP mendapatkan pengakuannya sendiri berhubung kisah cintanya.

Biarpun agak keberatan untuk bercerita soal peribadi, namun mengenangkan bukan mudah untuk pihak media menghubunginya, apatah lagi dirinya kini berpangkalan di Los Angeles, Yuna tetap sudi menjelaskan perkara sebenar.

“Antara kami memang berkawan dan sekarang ini dalam peringkat mengenali hati budi masing-masing. Kalau boleh saya enggan bercerita lebih lanjut kerana tidak mahu apa yang berlaku sebelum ini berulang kembali. Lagipun, sekarang ini saya mahu lebih fokus pada kerja,” kata penyanyi ini.

Lelaki bukan ditujukan untuk Qi
Ketika ini, lagu Lelaki nyanyian dan ciptaannya sendiri sedang hangat diputarkan di radio. Selain melodinya yang catchy, liriknya juga mempunyai jalan cerita yang menarik. Namun selepas diamati, ternyata lirik lagu itu secara sinis mengecam golongan lelaki yang suka mempermainkan wanita.

Secara tidak langsung, ramai menganggap Yuna menulis lagu itu berdasarkan kisah cintanya yang tidak kesampaian bersama pelakon dan pengacara, Qi Razali.

Sambil mengakui dia juga mempunyai pendapat yang sama seperti itu, Yuna bagaimanapun menafikan lagu berkenaan ditulis berdasarkan kisah cintanya.

“Lagu itu sudah lama saya cipta, iaitu ketika kami masih berkawan. Malah Qi juga ada menemani ketika saya mahu berjumpa dengan AG Coco, untuk berbincang mengenai penerbitan lagu itu.

“Lagu itu dihasilkan sedemikian kerana saya mahu ia kelihatan mempunyai mood sinikal dan komedi, walaupun intinya berkisar pada kisah putus cinta. Jadi selepas ini saya harap tiada lagi pihak menganggap ia ditujukan untuk Qi,” terang Yuna.

Hadir sama pada sidang media itu Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani; dan pengurus Yuna, Nor Zaina Wardah atau Wawa.

Undang David Foster ke konsert IB

Mengulas penganjuran konsert tiga malam di Panggung Sari, IB, 6 September depan, Yuna berkata, dia memang teruja kerana itulah impiannya sejak dulu.

“Apabila IB membuka peluang ini, saya begitu teruja. Iyalah, sebelum ini IB banyak menganjurkan konsert membariskan artis ternama. Sebagai orang baru dalam bidang ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana sudi mengundang saya mengadakan konsert di pentas berprestij ini,” katanya.

Untuk konsert selama dua jam ini, Yuna akan menyanyikan rangkaian lagu popularnya, termasuk lagu baru.

“Saya anggap tempoh dua jam ini memang lama. Jadi ada banyak lagu yang boleh saya nyanyikan, petikan album Melayu dan Inggeris. Selain itu saya juga mungkin mengundang Aizat untuk bersama-sama menjayakannya,” kata Yuna yang turut mengundang komposer dan juga pemilik label Verve Music Group, David Foster, menyaksikan konsertnya itu.

Sementara itu, Wawa memberitahu, harga tiket konsert Yuna akan diumumkan sedikit masa lagi.