LANGKAWI: Persatuan Teksi dan Tuan Empunya Kereta Sewa Langkawi memberi jaminan menyediakan perkhidmatan mencukupi bagi menampung permintaan penumpang sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013, mulai esok sehingga 30 Mac.

Timbalan pengerusi persatuan itu, Mohd Adnan Salleh, berkata perkhidmatan teksi yang disediakan di pintu masuk utama seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL), Jeti Kuah, hotel dan pusat membeli-belah adalah mencukupi.
Bercakap kepada Bernama hari ini, Mohd Adnan berkata sebanyak 1,000 teksi yang sedang beroperasi di seluruh Pulau Langkawi berada dalam keadaan baik.

Katanya, seramai 100 pemandu teksi di LTAL juga sudah memakai pakaian seragam mulai semalam sempena LIMA 2013 dan ia akan diperluaskan kepada semua pemandu teksi dalam masa terdekat sebagai usaha meningkatkan mutu perkhidmatan.

"Kita antara barisan depan yang menyambut ketibaan pelancong asing dan adalah baik untuk mempamerkan imej bersih, kemas dan berdisplin bagi memikat pelanggan," kata Mohd Adnan.

- BERNAMA