Kuala Lumpur: Pengguna pengangkutan awam di bandar besar bakal menikmati perjalanan lebih selesa dan menjimatkan kos dengan pelancaran operasi bas Rapid di kawasan mereka dalam masa terdekat.

Ketua Komunikasi Kumpulan Syarikat Prasarana Negara Berhad (PRASARANA), Masnizam Hisham berkata selain memudahkan pengguna untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain, ia juga dapat mengurangkan masalah kesesakan yang semakin serius.
Katanya, ia selari dengan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang menetapkan pengangkutan awam bandar sebagai salah satu cabang untuk meningkatkan ekonomi negara.

Lancar RapidKuantan

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2013 semalam mengumumkan RapidKuantan akan dilancarkan di Kuantan pada 1 Disember depan, selain memperluaskan perkhidmatan sama di beberapa bandar lain iaitu Ipoh, Seremban, Kuching dan Kota Kinabalu.

Mempercepatkan operasi

Sementara itu, Pengarah Urusan PRASARANA Datuk Shahril Mokhtar berkata, pihaknya akan bertemu dengan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan kerajaan negeri untuk mempercepatkan operasi bas RapidKuantan di negeri itu.
Kita akan menggunakan kepakaran, pengalaman, pengetahuan dalam mengurus dan menjalankan operasi bas RapidKL di Lembah Klang dan Selangor serta RapidPenang di Pulau Pinang bagi memastikan pengguna menikmati perjalanan yang cekap dan selesa, katanya.

Di Kuantan, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, Projek Rapid Kuantan akan membabitkan 25 bas henti-henti yang menawarkan perkhidmatan bermula dari kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Gambang untuk fasa pertama.

Kekerapan bas pula kita akan dipastikan setiap 15 minit dan bergantung kepada laluan ke kawasan lain. Paling penting, keselesaan pengguna bas ini diberi keutamaan, katanya.