Pengeluar daging, susu  terbesar NAJIB bersama Dr Mohd Yusof (dua dari kanan); Presiden Kumpulan Felda Global, Datuk Mohd Bakke Salleh (kiri); Ahli Lembaga Pengarah IffcoAllana, Feroz Allana (tiga dari kiri); Ahli Lembaga Pengarah IffcoAllana, Irfan Allana (kanan); Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan (dua dari kiri) Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd Wahab (kanan) dan Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob (dua dari kanan) pada Majlis pemeteraian usaha sama di Kuala Lumpur, semalam.
Usaha sama FELDA laksana projek ternakan babitkan pelaburan RM688j

FELDA menerusi anak syarikatnya Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd, menjalin usaha sama dengan Middle East Oils & Grains Ltd (MEOG) dan Felda IFFCOAllana Malaysia Sdn Bhd bagi melaksanakan projek ternakan lembu bersepadu membabitkan pelaburan RM688 juta.

Projek berkenaan yang akan dimulakan pada suku ketiga tahun ini, bakal menyaksikan FELDA muncul pengeluar daging dan susu lembu terbesar negara.
Perjanjian usaha sama antara ketiga-tiga syarikat itu dimeterai di Kuala Lumpur. Ia disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Yusof Noor.


Di bawah perjanjian itu, ketiga-tiga syarikat akan menubuhkan syarikat usaha sama di kenali sebagai Felda IffcoAllana Malaysia (FIAM).

Felda Global serta MEOG yang berpangkalan di India masing-masing akan memegang 40 peratus kepentingan syarikat usaha sama itu, manakala Felda IFFCOAllana memegang baki 20 peratus.

Menerusi usaha sama itu juga, setiap syarikat akan menyumbang sumber serta kepakaran masing-masing, yang mana Felda Global akan menyediakan tanah untuk ternakan, MEOF menyediakan rantaian pengedaran dan pemasaran global, manakala Felda IFFCOAllana pula akan menyediakan baka ternakan serta kepakaran dalam membina pusat penyembelihan serta kemudahan pemprosesan daging bertaraf dunia.

Najib dalam ucapannya pada majlis pemeteraian perjanjian usaha sama itu berkata, pakatan yang dijalin Felda Global itu akan membantu negara ini mengurangkan pergantungan kepada import daging lembu dan susu untuk memenuhi keperluan bilangan penduduk negara yang semakin meningkat.
Ketika ini Malaysia hanya menghasilkan 25 peratus daging lembu untuk kegunaan tempatan dan lebih memeranjatkan, hanya lima peratus saja bekalan susu tempatan.

Keadaan ini meletakkan beban yang tidak sewajarnya di bahu pengguna tempatan yang terpaksa membayar harga lebih tinggi bagi daging lembu dan susu import, selain mengehadkan pembangunan ekonomi negara apabila kita terlalu bergantung kepada bekalan luar untuk bekalan makanan tempatan, katanya.

Beliau juga menegaskan, usaha sama itu menjadi satu lagi mercu tanda bagi Felda Global yang baru dilancarkan operasinya Julai tahun lalu.

Dalam tempoh singkat Felda Global sudah menunjukkan kemajuan untuk menjadi satu daripada syarikat peneraju antarabangsa dalam industri pertanian, katanya.

Beliau juga memuji usaha sama itu yang mana syarikat terbabit menggunakan kepakaran masing-masing untuk menambah nilai tanah estet milik peneroka Felda.

Kita ada lebih 800,000 hektar tanah estet milik pekebun kecil, tetapi hanya sejumlah kecil digunakan untuk ternakan, dan kita juga tiada rantaian pasaran antarabangsa, justeru menerusi pakatan ini setiap rakan kongsi akan menggunakan kemahiran masing-masing untuk kebaikan syarikat, katanya.