JAKARTA: Kegiatan penyeludupan pelbagai barang dari Malaysia ke Kalimantan Barat dilaporkan meningkat sejak dua minggu lalu membabitkan barangan termasuk enjin bot laju, gula pasir dan ikan.

Ketua Polis Daerah Sanggau, Kalimantan Barat, Winarto, berkata sejak seminggu lalu polis merampas tujuh enjin bot laju dan 8.5 tan gula pasir, yang dibawa masuk ke Indonesia dari Sarawak, tanpa dokumen sah.
Polis menahan dua orang warga negara Indonesia iaitu seorang suspek dari daerah Pontianak untuk kes penyeludupan enjin bot laju dan seorang suspek dari daerah Balai Karangan untuk kes gula pasir, kata beliau dipetik akhbar harian Kompas Isnin.

Sejak dua minggu terakhir, kata Winarto polis juga menahan lori yang membawa masuk ikan dari Malaysia melalui Entikong di daerah Sanggau dan melalui pos sempadan Nangka Badau-Lubuk Antu.

Ketua Stesen Pangawasan Sumber Daya Kelautan dan Perikanan Pontianak, Bambang Nugroho, berkata sejak dua minggu lalu pihaknya mengesan sebuah lori yang menyeludup ikan dari Malaysia sebanyak lima kali.

Setiap kali lori itu mengangkut 3 tan ikan masuk ke Putussibau, ibu kota daerah Kapuas Hulu, selain membawa masuk bersama beberapa komoditi lain, katanya. - BERNAMA