IPOH: Kerajaan Perak meminta laluan Lebuh Raya Pantai Barat (LPB) antara Banting, Selangor dan Changkat Jering, Perak yang kini dalam kajian, dibina di sepanjang pesisiran pantai negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata ia bagi memastikan pembinaan lebuh raya itu sejajar dengan rancangan pembangunan Perak.
"Cadangan kerajaan negeri ialah laluan dibina di sepanjang pesisiran pantai barat (Perak) bermula dari Bagan Datoh dan terus ke Changkat Jering," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata permintaan itu yang sudah dikemuka kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) adalah sebagai alternatif kepada cadangan LLM iaitu melalui Teluk Intan ke Changkat Jering di Taiping.

"Kita harap lebuh raya baru ini akan membantu membangunkan kawasan Bagan Datoh hingga ke Manjung dan Changkat Jering," katanya.

Pada 28 Mac 2007, Kabinet membuat keputusan meneruskan projek pembinaan LPB menghubungkan Taiping di Perak dan Banting di Selangor walaupun projek itu telah ditolak oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) sebelum ini.

Zambry berkata, LLM memaklumkan projek LPB yang dianggar RM6 bilion itu akan ditanggung syarikat konsesi dan dijangka dilaksanakan seawal-awalnya tahun depan.
Dalam perkembangan lain, Zambry berkata kerajaan negeri juga sudah meminta LLM menyegerakan pembinaan tiga persimpangan bertingkat di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) iaitu di Alor Pongsu (Bagan Serai), Meru (Ipoh) dan Gua Tempurung (Gopeng).

Katanya, persimpangan bertingkat kedua-dua arah di kawasan berkenaan dapat membantu mempercepat proses pembangunan yang dirancang kerajaan negeri.

"Persimpangan bertingkat Gua Tempurung penting kerana kawasan terbabit dan Kampar sedang membangun sebagai pusat pengajian tinggi manakala persimpangan bertingkat Meru pula dapat membantu pengguna yang terlepas susur keluar ke Plaza Tol Ipoh Selatan untuk keluar ke Meru," katanya. - BERNAMA