Pemberontakan, luahan hati rakyat buka peluang cari formula baru bagi hubungan antara negara

SUKAR menduga apa akan berlaku akibat pergolakan di dunia Arab seperti Tunisia, Mesir, Yaman, Bahrain serta Maghribi, terutama kemungkinan kesannya kepada isu Palestin dan Israel.
Namun, bagi Felo Penyelidik Kanan Jabatan Antarabangsa dan Pengajian Strategi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Datuk Mohamad Abu Bakar, apa juga kesudahan tetap memberi kesan terhadap konflik Palestin dan Israel.

“Hasil daripada perkembangan baru-baru ini sukar diramal kerana politik adalah seni pelbagai kemungkinan. Tetapi tidak dapat dinafikan, apa yang berlaku mempunyai impak kepada konflik Palestin dan Israel,” katanya.

Beliau berkata, kemungkinan bakal berlaku kepada Palestin kesan daripada pemberontakan di dunia Arab, perlu melihat kepada sejarah iaitu bermula dengan pengisytiharan penubuhan Israel pada 1948.

Selepas pengisytiharan itu, konflik Palestin dan Israel memperlihatkan tiga fasa utama membabitkan peperangan, pemberontakan, perjanjian damai hingga pergolakan menjurus kepada proses perubahan yang berterusan.

Mohamad, salah seorang daripada empat ahli panel yang dijemput membincangkan tajuk Pemberontakan Dunia Arab 2011: Kesan Kemungkinan Terhadap Konflik Palestin-Israel, anjuran Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS).
Tiga lagi ahli panel ialah bekas Duta Palestin ke Malaysia, Tan Sri Ahmad Al-Farra; Setiausaha Agung Pertubuhan IKRAM Malaysia, Zaid Kamaruddin dan Felo Penyelidik di IAIS, Karim Crow. Forum dipengerusikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IAIS, Prof Datuk Osman Bakar.

Mohammad berkata, selepas 30 tahun bergelumang dalam peperangan antara negara serta perang saudara, negara Arab kini bebas daripada pengaruh Barat dan Israel, dan tampil meluahkan perasaan mereka.

Katanya, Mesir yang turut bergolak menjadi kelebihan jika rejim yang menggantikan tidak dipengaruhi Amerika Syarikat dan Israel, sementara kedua-dua kuasa itu perlu mencari strategi baru bagi menangani pergolakan dunia Arab.

Al-Farra pula berkata, terlalu awal bersikap optimistik kerana pemberontakan, tunjuk perasaan dan pergolakan berlaku di dunia Arab tidak menampakkan penyelesaian terhadap isu Palestin.

Beliau membuat kenyataan itu selepas melihat satu-persatu pergolakan melanda negara berkenaan berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap sistem pemerintahan, masalah politik serta ekonomi.

“Apakah pemberontakan di beberapa negara Arab akan memihak kepada Palestin? Persoalan sekarang apakah negara Arab bersedia memerangi Israel, saya rasa tidak. Jika tiada peperangan membebaskan Palestin, pilihan yang ada ialah jalan damai.

“Israel tidak mahu berdamai sebaliknya lebih suka perang. Israel menolak perjanjian damai takut perdamaian. Jika mereka tandatangan perjanjian, mereka tidak akan mematuhinya. Jadi, bagaimana hendak menubuhkan negara Palestin,” katanya.

Katanya, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu tidak mengiktiraf negara Palestin adalah bukti Israel tidak ada niat berdamai.

Beliau juga membangkitkan fungsi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang hanya mengemukakan hujah tetapi disimpan dalam fail sehingga mesyuarat akan datang, sedangkan tiada tindakan dilakukan.

Sementara itu, Zaid berkata, pemberontakan di negara Arab tidak berlaku spontan kerana gerakan aman sudah lama berjalan memperjuangkan isu politik, ekonomi, sosial dan hak asasi.

Implikasinya kini, perjuangan lebih fokus kepada isu demokrasi dan kebebasan bersuara untuk melihat perubahan dalam pemikiran bangsa Arab. Kumpulan pejuang adalah golongan muda yang terdedah kepada media baru.

“Proses demokrasi ada dan masih berterusan. Ada pandangan positif berkenaan pergolakan ini dengan isu Palestin dan Israel. Ini adalah peluang untuk membuka ruang kepada formula baru bagi hubungan antara negara,” katanya.