Perhimpunan Agung UMNO 2012: Teks Ucapan Penggulungan Presiden
Pertamanya marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT yang telah memberi taufik dan inayahnya kepada kita semua sehingga Perhimpunan Agung kali ke-66 sampai ke penghujungnya, sempurna dijalankan dan telah mencapai kejayaan yang boleh kita banggakan.

Sebelum saya meneruskan ucapan, saya nak ucap terima kasih kepada Tan Sri Pengerusi Tetap (Tan Sri Badruddin Amiruldin). Tan Sri Pengerusi persidangan ini banyak keistimewaan yang ada pada dia, antaranya bab orang Kedah kata dia mangkaq...kelakaq orangnya... ada juga orang kata kelolo...tapi persidangan ini akan jadi boring kalau tak ada watak teristimewa pengerusi persidangan. Ia tak masuk bab kencing manis ni...
Persidangan pada kali ini, menarik perhatian bukan saja dalam kalangan ahli UMNO tetapi mereka di luar juga kerana UMNO adalah parti pemerintah sebab itulah kita mendapat sambutan yang luar biasa.

Kalau wakil ini (perwakilan Wanita tunjuk tulisan I Love PM) banyak I Love PM... saya nak beritahu kalau wakil Wanita sebut I Love PM, isteri saya tak marah...saya dah ada ‘understanding’, tapi dia kata cuma jangan sebut I Love You saja.

Perhimpunan kita mengikut maklumat yang saya terima sejak jadi Perdana Menteri ini, banyak juga maklumat bahawa Persidangan UMNO mendapat sambutan yang luar biasa pada kali ini. Saya lihat bahawa mood persidangan cukup baik kali ini...jurucakap pun macam Tan Sri Muhyiddin (Yassin) sebut tadi pengisiannya cukup baik...nak cakap merapu, kurang kali ini...dan tidak ada reaksi negatif dalam kalangan mereka yang sedang memerhati perjalanan perhimpunan kali ini.

Semangat yang luar biasa

Yang cukup teristimewa bukan saja dalam kalangan orang Melayu yang katanya gah perhimpunan ini menyebabkan mereka lihat bahawa UMNO semakin hari semakin pulih dan padanya, UMNO semakin hari semakin layak untuk terus memimpin negara kita dan tak kurang juga istimewanya orang bukan Melayu pun hari ini memandang UMNO secara lebih positif daripada masa-masa lalu.
Kita juga sebagai sebuah parti telah menunjukkan bahawa kita mampu untuk memulihkan keadaan, merapatkan barisan kita, menunjukkan semangat yang luar biasa. Saya nak sebut di sini di antara mereka yang menyentuh perasan hati saya termasuk rakan sahabat saya yang lama, Cikgu Seman dari Jasin yang gambarnya terpampang besar pada muka hadapan surat khabar. Cikgu Seman umurnya 70 tahun dia beriya menangis semalam hiba hati apabila dia dengar ucapan saya pada hari pertama.

Cikgu Seman tak pernah jadi wakil rakyat tetapi Cikgu Seman cinta kasih komited dan setia pada parti. Saya cukup terharu apabila turun melawat ruang-ruang di PWTC. Saya diberitahu di depan skrin besar ramai perwakilan Wanita yang datang dari jauh. Ada yang berada jam 6.30 pagi lagi ...inilah antara wira yang tidak didendang.

Saya juga tersentuh hati apabila wakil kelab UMNO luar negara dengan suara yang sayu merayu ‘Tolonglah ayahanda, tolonglah bonda untuk UMNO terus mara, untuk UMNO terus berkuasa dan terus jaga kepentingan ahli.’ Kita berjuang untuk anak-anak cucu. Kita hari ini menggalas tanggungjawab UMNO. Sebagai pemimpin mesti lakukan terbaik untuk generasi akan datang yang meletakkan harapan tinggi kepada UMNO.

Saya terhutang budi kepada dua pemimpin besar kita. Yang pertama kepada Tun Dr Mahathir Mohamad. Tanpa disuruh dia sanggup berjumpa dengan semua pemimpin UMNO seluruh negara. Dia bagi tahu penting sokong parti kerana selagi parti masih ada, perjuangan diteruskan. Katanya walaupun si polan si polan ini saya tak suka, tapi kalau Presiden parti pilih, saya sokongnya. Terima kasih Tun Dr Mahathir.

Angkatan kuat dan padu

Saya juga terhutang budi kepada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi). Atas sokongan yang diberikan kepada saya secara berterusan. Istimewanya dua perkara, pertama lepas jawatan Presiden mengikut tradisi parti. Kedua, masa serah jawatan kepada saya, dia harap parti lebih kukuh.

Kenapa saya sebut nama Cikgu Seman, nama wanita yang jam 6.30 pagi berada di depan skrin besar. Kenapa nama Tun Dr Mahathir dan Pak Lah saya sebut, kerana kita akan turun gelanggang tak lama lagi.

Bila turun gelanggang, kita akan berperang. Bila berperang, angkatan mesti cukup kuat dan padu. Saya percaya musuh tidak berapa kuat. Saya yakin orang ramai memihak kepada UMNO. Yang saya khuatir sikit soal kita sesama kita.

Kalau saya buat survey (bancian), saya buat soalan cepumas. Bila pilihan raya? Soalan cepumas kalau anda tak terpilih sebagai calon, adakah anda akan sokong sepenuhnya calon UMNO dan Barisan Nasional?

Saya nak bagi lima kemungkinan. Yang pertama, anda sokong sepenuhnya calon yang dipilih parti.

Yang kedua sokong. Yang ketiga tak kerja. Yang keempat sabotaj. Yang kelima lompat parti.

Survey ini penting, tanya diri sendiri, tak payah edar borang...jangan bimbang, saya nak tuan puan dalam dewan ini, dalam perjalanan balik nanti, dalam kereta nanti, dalam bas ekspres nanti, cuba tepuk dada tanya selera.

Walaupun kita lihat dalam suasana dewan gemanya begitu hebat, tapi nak menghayatinya, nak bawa semangat ini, nak pertahan sampai masa pilihan raya, nak jumpa penyokong kita balik, sebab di kalangan kita banyak batu kerongsangnya kerana banyak tukang kipasnya, dia akan cong kita..kalau tak kuat iman kita, daripada sokong sepenuhnya, dia turun kepada sokong atau daripada sokong dia buat dek (tidak tahu). Atau lebih parah daripada itu, dia sabotaj parti atau lompat parti. Saya sebut ini sebagai segala kemungkinan, dalam dewan ini kebanyakan kita hampir semuanya penyokong segar setia perjuangan parti, tapi jangan lupa ada juga bekas menteri, bekas timbalan menteri yang sudah mengkhianati parti kita. Dia sudah rasa jadi nikmat menteri, nikmat timbalan menteri dan nikmat lain, tetapi hari ini kerana gila jawatan dan dirasuk tertentu, hari ini menjadi orang yang menentang UMNO dan Barisan Nasional.

Pencapaian transformasi diakui

Sebab itu, dalam perhimpunan ini, kita mesti kata, kita mesti dengan suara yang cukup hebat bahawa jawapan yang kita pada dalam soalan cepu emas tak lain tak bukan kalau saya tidak dipilih sebagai calon, saya tetap akan sokong sepenuhnya calon UMNO dan BN...boleh tuan puan. Kalau itu jawapannya, kalau itu yang sebenarnya dalam hati kita, insya-Allah PRU ke-13 empunya kepada UMNO dan BN dengan kemenangan dua pertiga.

Saudara saudari sekalian, Tan Sri Pengerusi, dekat masuk Maghrib, masa sudah terbatas. Ini baru masuk gear dua. Baik, kita sebagai sebuah parti, kita telah melakukan banyak perubahan. Hari ini kita lihat bahawa melalui dasar transformasi negara, semua orang mengakui bahawa pencapaian kita adalah luar biasa. Madam Lagarde (Christine), Pengarah Urusan IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) yang jumpa saya kata, dari segi IMF baru ini, bukan yang lama, IMF yang lama kawan dia, yang baru kata Malaysia satu-satunya negara di mana ramalan pertumbuhan ekonomi terpaksa diubah kepada pencapaian yang lebih tinggi lagi.

Ada laporan dalam Financial Times, bahawa pencapaian Malaysia adalah ‘gravity define’ dan kita bukan saja bangga dengan pencapaian yang besar dari segi mikro, tetapi kita berjaya membawa nikmat dasar kita kepada hampir setiap individu hari ini telah mendapat nikmat daripada dasar transformasi nasional.

Kita kerajaan yang adil

Kita memang berlaku adil, kalau PAS tuduh FELDA bankrap dia kata dan ada puak-puak ini nak saman FELDA, bila kita bagi durian runtuh, dia yang pertama tercegat situ dengan jubah. Kita ini kerajaan yang adil, kita tak kata kita bagi kepada orang UMNO saja, kalau puak di sana dia nak buat apa pun, dia tengok, kalau orang UMNO kuat, dia tak bagi.

Bukan saya cakap, puak dia cakap, ladang estet di Kelantan, sapa dapat? Di majlis daerah, hak kontrak kelas F di Selangor, siapa dapat? Habis kontraktor penyokong UMNO di Selangor termasuk yang saya sebut hari tu, kontraktor makanan pun habis ditarik balik kerana dia kontraktor UMNO.

Tapi kita kerajaan yang adil dan bagaimana boleh dia boleh kata bahawa yang zalim jadi pemerintah, yang baik masuk penjara.

Merata dia cakap macam tu, saya tahulah, saya dapat macam-macam laporan. Saya tahu, betul ke yang baik masuk penjara? Saya nak tanya baik ke manusia tu? Baik? Ish ish...kena jaga baik-baik ke? Kalau kita masih ingat lagi kalau dia masuk penjara dulu kenapa? Yang pertama kerana salah guna kuasa sebagai Timbalan Perdana Menteri mengarahkan cawangan khas mengubah afidavit yang membawa kepada perbuatan tak bermoral. Ish... ish... ishh... Menyalahkan kuasa, bukan kita, dia...ini bukan yang saya sebut-sebutkan, ini satu fakta dan kenyataan. Memaksa orang menukar afidavit dengan kuasa kerana apa? Sebab nak tutup ..ish... ish... ish... Jadi daripada situ, kita boleh nampak siapa yang sokong LGBT, tengok rentetan dia...tengok... ish.ish.. Ini baru sikit saya keluarkan, banyak lagi saya simpan.

Gerakan massa nasional

Ini yang saya nak kata, bahawa kitalah pada pihak yang benar. Ini dia main label kononnya kita ini zalim, zalim mana? Pengiktirafan dunia Islam terhadap Malaysia begitu tinggi hari ini. Rakan-rakan dah sebut tadi...daripada Bangsamoro, daripada King Abdullah (Arab Saudi) dan dapat macam-macam lagi. Kejayaan kita menjadikan Islam sebagai addin kesyumulan Islam, ketinggian Islam adalah perjuangan UMNO dulu sampai sekarang.

Saya nak sebut di sini secara ringkas ada dua perkara. Yang pertama, bahawa dalam proses membuat perubahan ini, UMNO adalah parti yang merupakan gerakan massa nasional. Jadinya, kita ambil pintu terbuka siapa pun boleh masuk. Sudah sampai masanya, pada pendapat saya dan rakan-rakan, saya bincang dengan Timbalan Presiden parti bahawa kita perlu untuk memperkukuhkan UMNO sebagai satu institusi supaya kita akan mempunyai kekuatan, kekuatan dalam abad ke-21 ini berpunca daripada kekuatan minda, kekuatan ilmu yang lebih unggul, lebih hebat nak lawan orang lain.

Sebab itulah, UMNO mesti membangunkan nilai keintelektualan dan saya bersetuju bersama dengan Timbalan Presiden bahawa cadangan daripada Pemuda dan Puteri supaya sebuah institusi UMNO diwujudkan dan kita akan lakukan ini serta-merta. Kita tak perlu pada bangunan baru, kita boleh gunakan pusat latihan yang mana sedia ada. Yang pentingnya, ialah pengisiannya supaya kita sediakan kurikulum yang sesuai supaya anak-anak kita ini akan kita isi dengan sejarah perjuangan UMNO dengan pengetahuan sebagai seorang yang akan bergerak dalam satu organisasi dengan nilai-nilai yang baik dan dengan ini kita akan menyediakan barisan yang lebih ampuh untuk menghadapi cabaran yang akan datang.

Kepada Wanita, saya tak lupa Ketua Wanita. Saya sayang kepada Wanita, tapi yang atas tu satu-satu je lah. Sah kena sebut tu. Wanita nak apa? Nak calon lebih? Ya, tapi kita kena rundinglah. Tuan-tuan pun kena bantu juga, jangan tak bagi tempat untuk Wanita, senyap je saya sebut ni.

Peluang kedua

Saya juga bersetuju supaya pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia yang hadnya RM50,000. Kita akan naikkan kepada RM100,000, sebab Wanita terbukti. Kalau nak bagi pinjam duit, bagi pinjam duit kepada wanita. Kalau tak nak orang bayar balik, bagi pada... Wanita, TEKUN kita bagi. Apa lagi? Ada satu lagi isu yang menarik. Ini orang bankrap, tak ada orang bankrap dalam dewan ni sebab kalau bankrap tak boleh jadi wakil. Betul tak? Melainkan kita belum tahu lagi. Tapi ada 120,000 orang yang bankrap. Undang-undang bankrap kita terlalu ketat sekarang. Tiada second chance (peluang kedua), kalau dah isytihar bankrap kadang-kadang bukan salah kita. Kita jadi penjamin saja...kesian. Kadang-kadang tak semena-mena yang bawa surat suruh kita sign (tandatangan) ketua cawangan. Tak sign (tanda tangan), kita takut dia tak sokong kita. Bila sign (tanda tangan), kita terjerat.

Inilah sebab kerajaan akan mengkaji semula dan membuat peraturan baru supaya meringankan lagi kaedah mengisytiharkan orang itu sebagai bankrap dan mencari jalan siapa yang sudah bankrap ini bagaimana kita boleh melepaskan mereka daripada menjadi bankrap...kalau ada jalan. Bukan semua, ada hutang berjuta-juta...ada. Tapi mana yang boleh mana sabar kita akan cuba membantu mereka.

Dengar cadangan orang muda

Inilah cadangan yang dibawa dalam persidangan pemuda hari ini. Jadi, saya nak kata bahawa kita dengar, kita dengar pada rakyat. Kita dengar pada orang muda sebab orang muda 20 peratus daripada pengundi akan datang orang muda dan kita juga mesti merupakan parti yang dinamik. Sebab itu, saya buat macam-macam cara. Suruh duduk atas jalan raya pun saya duduk tengok bola. Suruh naik motosikal OKU pun saya naik. Tapi Datuk Zahid kata bukan OKU, dia kata ‘orang kuat UMNO’. Twitter page saya pun boleh tahan, sejuta lebih. Lebih popular daripada Nizar punya. Saya pun tak berapa tahu nama ni. Sebab apa? Sebab kita kena buat adjustment lah, sebab kita dalam dunia baru, segala fitnah sekarang dalam mana? Dalam media sosial, jadi UMNO mesti menguasai ‘cyberspace’ sosial media. Kita berterima kasih kepada bloggers yang proUMNO dan Barisan, lawan dia, lawan puak ni habis-habisan.

Sebelum tu, saya nak ucap terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden yang banyak bantu saya dan juga rakan-rakan dalam jawatankuasa pengurusan. Tiga ‘ekor’ ni semua banyak bantu saya. Yang Pemuda, Wanita, Puteri pun banyak bantu juga. Saya nak ucap terima kasih. Saya nak ucap terima kasih juga kepada Setiausaha Agung yang rambutnya teristimewa sekarang ni, Bollywood. Dan saya nak ucap terima kasih kepada Setiausaha Kerja yang semakin sihat dan semua pihak yang telah menjayakan perhimpunan kita.

Katakan tidak pada PAS, PKR DAP

Bayangkan adakah kita mahu anak-anak kita sesat akidah, adakah kita mahu anak-anak kita gelap masa depannya, adakah kita mahu negara porak peranda, adakah kita sanggup memperjudikan masa depan negara. Jika semua jawapan tidak, maka katakan tidak kepada PKR. Katakan tidak PAS, katakan tidak kepada DAP. Ini masanya untuk kita sedar dan berada dalam barisan yang kukuh dan bersatu. Untuk apa? Untuk menentang fitnah daripada PAS, menentang pluralisme daripada PKR, untuk menentang perkauman daripada DAP.

Saya mengajak saudara-saudari dalam dewan dan di luar, tariklah nafas, tariklah bersama nafas kesyukuran, tariklah bersama nafas kedamaian. Bayangkan tuan-tuan segala kesyukuran, kedamaian, kebahagiaan yang saudara saudari kecapi, yang saudara-saudari nikmati dan akan terus merasai hasil pemerintahan UMNO dan Barisan Nasional. Bayangkan, bayangkan segala kehancuran, kemusnahan, porak peranda, dan kebangsatan bangsa pasti berlaku jika anda memilih pembangkang.

Marilah, marilah tuan-tuan dan puan-puan, genggamkan tangan kanan kita, genggamkan tangan kanan kita, genggamkan dengan penuh yakin dan percaya, letakkan di dada kita, satukan hati dan niat kita, katakan tuan-tuan, katakan dari hati dan jiwa kita, demi Islam, demi Melayu, demi Malaysia, demi bumi bertuah ini, demi anak cucu kita, kita mesti sedia setia pada perjuangan UMNO, demi kedaulatan dan kesucian agama Islam, kerana UMNO mempertahankan Islam, kita mesti taat pada pemimpin UMNO, demi kemenangan parti, kerana UMNO membela rakyat, katakan tuan-tuan dan puan-puan, kita mesti bersatu sesama ahli UMNO, jangan bersengketa, kerana perpaduan adalah tiang seri pada kejayaan kita. Yakin dan percayalah, hanya UMNO yang mampu mempertahankan kesucian agama Islam. Yakin dan percayalah hanya UMNO mampu membela untung nasib bangsa Melayu, dan kaum kaum lain.

UMNO mempertahankan Islam

Katakan dalam jiwa kita, hidup dan matiku hanyalah untuk Islam, wajib aku pertahankan UMNO, kerana UMNO mempertahankan Islam. Tuan-tuan dan puan-puan, yakin dan percaya, satu undi untuk PKR, maksudnya satu undi untuk kerosakan akidah dan kehancuran sosial. Satu undi untuk PAS, maksudnya satu undi untuk perpecahan umat Islam. Satu undi untuk DAP, maksudnya satu undi penindasan bangsa tercinta.

Yakin dan percaya, satu undi untuk UMNO dan Barisan Nasional, maksudnya satu undi untuk keselamatan akidah umat Islam. Satu undi untuk BN, maksudnya satu untuk kekuatan dan perpaduan umat, satu undi untuk BN maksudnya satu undi pembelaan bangsa Malaysia.

Tuan-tuan dan puan-puan, marilah kita menadah tangan, memohon pada Allah dan memohon pertolongan Allah.

Ya Allah kuatkan UMNO. Ya Allah kuatkan Barisan. Ya Allah kuatkan kami. Ya Allah tolonglah kami untuk memelihara agama Islam. Tolonglah kami untuk membela bangsa Melayu dan bangsa lain, tolonglah kami untuk berlaku adil pada semua, peliharalah kami dari fitnah manusia, pelihara kami dari kerosakan bangsa, pelihara kami daripada kehancuran negara. Ya Allah berilah kemenangan pada UMNO dan Barisan Nasional, berilah kemenangan pada kami, demi agama Islam, bangsa dan negara.

Ya Allah kabulkan doa dan permohonan kami. Amin Ya Rabbal Alamin.
Marilah kita bersama-sama dalam dewan ini bersumpah dan berikrar dengan nama Allah, selagi darah masih mengalir, selagi hayat dikandung badan, agama suci Islam pasti kita daulatkan. Bangsa Melayu pasti kita perjuangkan, rakyat Malaysia pasti kita makmurkan, negara tercinta pasti kita pertahankan. Hidup UMNO, hidup Barisan, hidup Malaysia. Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar. Selamat berjuang.