Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung, berkata pilihan raya itu tidak boleh dijalankan kerana peruntukan Seksyen 15, Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang memansuhkan pilihan raya kerajaan tempatan masih berkuat kuasa.
Beliau mengulas kenyataan Guan Eng yang akan menyaman Kerajaan Persekutuan dan SPR jika gagal meluluskan pilihan raya kerajaan tempatan di negeri itu dalam tempoh dua minggu.
Guan Eng berkata, saman berkenaan akan difailkan oleh peguam kerajaan negeri, Tommy Thomas di Mahkamah Persekutuan.
Katanya, keputusan itu dibuat bagi pemulihan undi ketiga dan pilihan raya kerajaan tempatan bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).
Chee Heung berkata, pihaknya bukan mahu bertelingkah dengan negeri pimpinan pembangkang tetapi undang-undang dengan jelas tidak membenarkannya.
Mengenai saman yang akan difailkan kerajaan Pulau Pinang, Chee Heung berkata, pihaknya hanya menunggu tindakan selanjutnya.
“Kita tunggu dulu. Kita hanya akan bertindak selepas saman dikemukakan ke mahkamah,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pihaknya menyerahkan perkara itu kepada mahkamah.
