KOTA KINABALU: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata polis masih mempertingkat kerjasama dengan pasukan keselamatan dari negara jiran bagi menyelamatkan mangsa culik di Lahad Datu, bulan lalu.

"Kita mempunyai beberapa orang hubungan, dan kita tahu orang yang dihubungi itu," katanya sambil menambah polis tidak akan mendedahkan 'orang yang dihubungi' itu.
Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Bakri berkata, pihaknya meminta supaya media tidak mendedahkan kes penculikan seumpama itu bagi menjaga keselamatan dan sensitiviti mangsa.

Mengulas keadaan mangsa, beliau berkata: "Mereka okey...okey bermakna mereka masih berada di sana."

Ditanya sama ada sebarang tangkapan dilakukan, katanya: "Buat masa ini belum lagi, tetapi kita ada pegawai perisik."

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes penculikan membabitkan dua rakyat tempatan di pantai timur Sabah, awal bulan lalu.
Dalam kejadian antara jam 3.30 dan 4.30 petang itu, lima lelaki bersenjata api menculik seorang pengurus ladang kelapa sawit dan penolongnya dari ladang yang terletak kira-kira dua kilometer dari kawasan pantai, bersebelahan tanah rancangan FELDA Sahabat 15, kira-kira 50KM dari pekan Lahad Datu. - BERNAMA