PRODUK makanan yang dikeluarkan oleh pusat biotek herba TPM Biotech Sdn Bhd di Raub, Pahang kini boleh dieksport ke luar negara apabila syarikat berkenaan menerima pensijilan Standard Audit Titik Kawalan Kritikal dan Analisis Bahaya (HACCP) baru-baru ini.

TPM Biotech adalah anak syarikat milik penuh Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM), sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Presiden dan Ketua Eksekutif TPM, Datuk Mohd Azman Shahidin, berkata penerimaan pensijilan berkenaan tepat pada masanya.

Katanya, lima syarikat yang mengeluarkan produk makanan dan minuman herba secara kontrak menerusi kemudahan di Raub itu, kini aktif membawa produk mereka ke pasaran Asia Barat, Indonesia, United Kingdom dan Australia.

“Pensijilan berkenaan membuktikan kawasan pengeluaran makanan kami telah diaudit dan diperakui bagi memenuhi semua standard yang ditetapkan pada peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh TPM semalam.

Pensijilan berkenaan diberikan oleh Guardian Independent Certification Ltd, London susulan audit meluas dan ketat bagi sistem pengurusan keselamatan makanan syarikat.

Ini adalah kali pertama di negara ini kemudahan milik kerajaan seperti itu diberikan pensijilan HACCP.
Sementara itu, pusat ini ditubuhkan pada 2004 bagi membantu usahawan tempatan dengan menyediakan perkhidmatan saintifik dan perundingan yang menyeluruh, selain menyediakan infrastruktur pemprosesan herba lebih moden dan baik bagi tujuan pengkomersialan.

Pada masa ini, lebih 120 syarikat dan usahawan tempatan seluruh negara telah menggunakan kemudahan berkenaan bagi menghasilkan produk mereka secara kontrak.