PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan melihat semula semua program yang telah dan sedang dilaksana bagi menilai keberkesanannya.

Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, jika perlu, pihaknya akan membuat perubahan pada program terbabit untuk memastikan kementerian itu mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.
Langkah ini penting bagi memastikan Malaysia terus menawarkan perkhidmatan terbaik sekali gus meningkatkan tahap kesihatan rakyat, katanya pada sidang media sempena hari pertamanya di kementerian itu, di sini hari ini.

Turut memulakan tugas hari ini ialah timbalan beliau Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Menurut Dr Subramaniam, walaupun negara ini mempunyai sistem perkhidmatan kesihatan terbaik, masih ada ruang untuk penambahbaikan.

Sehubungan itu katanya, kementerian berkenaan sentiasa mengambil langkah proaktif termasuk melakukan pelaburan dalam sumber manusia bagi memastikan sektor kesihatan sentiasa mempunyai tenaga pakar mencukupi, setanding negara maju.

Katanya, kementerian itu juga akan memberi tumpuan dalam mengurangkan penyakit tidak berjangkit yang pada masa ini terus mencatatkan peningkatan bilangan kes setiap tahun. - BERNAMA